GST: Kastam perlu tenang, jangan ugut peniaga

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam diminta tidak membuat ugutan yang bukan-bukan serta peraturan tidak masuk akal terhadap peniaga akibat kepanikan jabatan itu ekoran kenaikan harga pasca kuatkuasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, kenaikan harga itu adalah ekoran kenaikan inflasi yang menjadi kebimbangan pimpinan Pakatan Rakyat sejak dua tahun lalu.

Katanya, Jabatan Kastam mulai panik kerana kebimbangan Pakatan kini telah menjadi kenyataan.

“Pimpinan Pakatan telah rayu kerajaan untuk tangguh dan hentikan sahaja pelaksanaan GST sejak 2 tahun lalu. Kami telah beri peringatan tekanan inflasi pasti tak akan dapat dielakkan.

“Kata mereka kenaikan harga adalah sangat kecil, namun ternyata sehari sebelum GST, Kastam sudah panik apabila kenaikan harga sangat ketara akibat GST,” ujarnya dipetik Roketkini.

Menurutnya, akibat kenaikan harga ketara tersebut, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad menetapkan sekaligus memberi amaran bahawa apa-apa perniagaan tidak boleh meningkatkan margin keuntungan dan sesiapa yang langgar peraturan itu akan dikenakan penalti.

“Arahan Khazali ini tidak masuk dek akal. Ini pertama kali kita dengar kerajaan mahu rancang bukan sahaja untuk kawal harga barangan asas, tetapi juga mahu kawal margin keuntungan barangan dan perkhidmatan biasa," katanya.

Share on Myspace