PAS Sabah tidak terhalang PKR, DAP keluar PR negeri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menghormati keputusan PKR dan DAP negeri memutuskan hubungan politik dengannya, kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri, Hamid Ismail.

Begitupun, katanya PAS Sabah menerima keputusan tersebut dengan berat hati kerana pihaknya percaya bahawa gabungan Pakatan Rakyat di antara PAS, PKR dan DAP mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional di Sabah.

Ini, ujar beliau dapat dilihat dengan kemenangan PKR dan DAP di beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Sabah.

Katanya lagi, kenaikan undi bagi PKR, DAP dan PAS di Sabah dalam PRU13 juga memberi indikasi bahawa rakyat dapat menerima polisi 'setuju untuk tidak bersetuju' yang dipraktikkan dalam Pakatan Rakyat.

PAS Sabah, kata beliau walau bagaimanapun, ingin membetulkan kenyataan media bertulis dan lisan yang dikeluarkan bersama oleh PKR dan DAP Sabah berkenaan pemutusan hubungan dengan PAS Sabah kelmarin.

Pertama, jelasnya PKR dan DAP Sabah memutuskan hubungan dengan PAS Sabah di atas alasan pelaksanaan hudud di Kelantan, dan bukannya di Malaysia seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media bertulis mereka.

Kedua, tambah beliau PAS Sabah tidak keluar atau menarik diri dari Pakatan Rakyat.

"Di dalam mesyuarat kelmarin, tidak ada keputusan dibuat untuk menolak PAS Sabah keluar dari Pakatan Rakyat," ujarnya.
 
Ketiga, katanya dengan pemutusan hubungan dengan PAS Sabah, Pakatan Rakyat di Sabah secara otomatiknya terbubar kerana Pakatan Rakyat adalah gabungan tiga parti politik.

Oleh itu, menurutnya penggunaan perkataan dan lambang 'Pakatan Rakyat' selepas ini oleh PKR dan DAP Sabah adalah tidak wajar dan akan mengelirukan rakyat.

"Perkembangan terbaru ini tidak akan menghalang PAS Sabah meneruskan kerjanya sebagai sebuah parti politik di Sabah dalam melakukan perubahan di Sabah demi kebaikan seluruh rakyatnya tanpa mengira agama dan bangsa selaras dengan ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunah," katanya lagi.

PAS Sabah, jelas beliau akan mengikut sistem demokrasi dan undang-undang yang ada dalam melaksana kerja-kerja dan mencapai agenda-agendanya. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace