Yaman: Rundingan damai elak pertumpahan darah

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar satu rundingan ke arah pendamaian antara Arab Saudi dengan Yaman dilaksanakan segera bagi mengelakkan berlakunya konflik lebih besar.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi bimbang jika konflik ini tidak ditangani lebih awal, akan mengundang pertumpahan darah lebih besar seperti di Syria yang telah mengorbankan 200,000 rakyatnya manakala tujuh juta pula menjadi pelarian dalam konflik ini.

Katanya, PAS bersama pemimpin gerakan Islam dunia menyeru seluruh masyarakat dan negara Islam tanpa mengira fahaman untuk memahami konflik sebenar yang berlaku.

"Ia adalah konflik kuasa besar yang didalangi oleh Amerika yang punyai kepentingan strategi di negara-negara umat Islam sendiri.

"Malah di Yaman, Amerika mempunyai kepentingan amat besar untuk menguasai Teluk Arden yang dilihat cukup penting untuk strategik Amerika.

"Dalam konflik di Yaman, Amerika pernah membantu kerajaan di Yaman yang berhadapan dengan kelompok Al Qaeda. Dan ini telah berlaku semasa pemerintahan presiden yang lalu Abdullah Salleh kini musuh kepada Amerika dan sekutu kepada Iran bagi memberi kemenangan kelompok Houthi di Yaman," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS melihat penglibatan secara terbuka Arab Saudi dengan menyerang menggunakan segala kelengkapan tentera amat berbahaya kepada masa depan dan keselamatan bukan sahaja di Yaman tetapi di seluruh Semenanjung Tanah Arab.

Tindakan Arab Saudi ini katanya, akan meluaskan lagi konflik yang telah berlaku
di dunia Arab seperti di Syria, Libya dan terkini konflik di Yaman mengakibat ketidakstabilan ketara di Tanah Arab.

Dalam hal ini, PAS melihat apa yang berlaku di Yaman bukanlah hanya dalam perspektif fahaman mazhab malangnya umum pula melihat bahawa konflik ini adalah konflik mazhab Sunni dan Syiah yang mana kelompok Sunni didokongi oleh Arab saudi dan kelompok Syiah oleh Iran.

Sebaliknya jelas Syed Azman, ia perlu dilihat secara mendalam membatasi persoalan Sunni dan Syiah kerana bagi pihak Houthi, ada sebahagian daripada kelompok-kelompok Sunni di Yaman menyokong kelompok Houthi untuk mengambil alih kuasa di Yaman.

Konflik sedang berlaku sekarang ini melibatkan negara Islam Arab Saudi dengan Yaman dan negara-negara di Teluk termasuk negara Iran sebagai proksi bagi membantu kelompok Houthi berfahaman Syiah sekali gus membantu kelompok Houthi untuk mengambil alih Yaman.

Pihak Houthi adalah sebahagian daripada rakyat dan masyarat Yaman bersama-sama masyarakat Sunni di negara itu hidup dalam keadaan aman damai tanpa berlakunya sebarang konflik.

Justeru, PAS menyeru supaya kembalikan keamanan dan kestabilan Yaman dengan mengajak kedua-dua pihak Arab Saudi dan Houthi kembali ke meja perundingan untuk cari jalan penyelesaian terbaik. - HARAKAHDAILY 31/3/2015 

Share on Myspace