Protes, Adun PR Perak hitam di sidang Dun

| .

IPOH: Kesemua 28 Adun Pakatan Rakyat (PR) berpakaian serba hitam ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri (Dun) Perak hari ini.

Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tindakan tersebut sebagai tanda protes terhadap insiden-insiden yang tidak sewajarnya berlaku akhir-akhir ini.

Menurutnya, Adun PR Perak menyatakan kekecewaan terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima tahun atas tuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Katanya, tindakan itu juga adalah tanda solidariti terhadap kesemua 12 ahli PAS yang dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya baru-baru ini.

Mereka didakwa bersalah selepas ditahan ketika menyertai demonstrasi di Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika krisis rampasan kuasa di negeri Perak pada tahun 2009.

"Di samping kita memberi bantuan dari sudut lain termasuklah kewangan dan sebagainya, hari ini Pakatan Rakyat menunjukkan kebersamaan kami tanda simpati serta kasihan terhadap 12 orang orang kena zalim (OKZ) serta ahli keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Titah Perasmian oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Menurutnya lagi, tindakan Adun PR itu juga sebagai tanda kekecewaan apabila dua Adun PKR Perak, Tan Kar Hing (Simpang Pulai) dan Chah Lih Kang (Teja) gagal menghadiri majlis perasmian persidangan Dun apabila didakwa di mahkamah selepas ditangkap dalam satu program #KitaLawan baru-baru ini.

"Pakatan Rakyat berasa sedih apabila dua Adun kami tidak dapat hadir untuk mendengar Titah Perasmian Tuanku. Mereka dinafikan hak apabila terpaksa hadir ke mahkamah untuk dibebaskan daripada lokap (tahanan).

"Mereka ditangkap ketika sedang berusaha menyedarkan rakyat berkenaan beberapa insiden ketidakadilan dalam negara ketika ini," tegasnya lagi.

Adun Changkat Jering itu turut menjelaskan, memakai serba hitam itu juga adalah sebagai tanda kebersamaan terhadap rakyat yang sedang bersedih rentetan daripada perlaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula esok.

Katanya, rakyat akan menanggung penderitaan apabila dipaksa membayar enam peratus cukai melalui sistem yang dilaksanakan itu.

"Kami daripada Pakatan Rakyat sepakat untuk berbaju hitam kerana berasa simpati kepada rakyat yang akan mula dikenakan cukai sebanyak 6 peratus bermula esok.

"Kalau kita lihat ketika ini, rakyat sedang berpusu-pusu memberi barangan di pasar raya untuk mengelak daripada dikenakan cukai GST (bermula) pada esok hari," tegasnya lagi.

Persidangan Dun ditangguhkan oleh Yang Dipertua Speaker, S. K. Devamany sejurus Titah Perasmian Sultan Perak dan akan bersambung pada esok. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace