Pak Amjal difitnah tolak hudud

JASNI ABDULLAH | .

BERIKUTAN penyebaran gambar Jalaluddin Abdul Manaf atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Amjal didalam group whatsapp dan FB yang memegang poster 'Tolak Hudud Demi Pakatan', saya dan PAS Lembah Pantai mengambil tanggungjawab untuk membersihkan tuduhan tidak berasas ini

Untuk makluman, Pak Amjal antara aktivis yang sejak sekian lama berkecimpung di dalam PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya di kawasan Lembah Pantai seawal tahun 80-an lagi. Naik turun dari trak polis dan keluar masuk lokap sudah beberapa kali demi memperjuangkan isu-isu rakyat.

Beliau mengakui turut serta dalam himpunan ‪#‎KitaLawan‬ yang diadakan di kompleks Sogo pada 28 Mac 2015 untuk membantah GST dan beberapa isu rakyat yang lain. Gambar beliau memegang poster himpunan telah diedit kepada 'Tolak Hudud Demi Pakatan'. Hanya tiga poster utama yang digunakan di dalam himpunan #KitaLawan iaitu Undur Najib, Undur Rosmah dan Kita Lawan.

Hasil penelitian, kami dapati antara yang menyebar maklumat palsu ini adalah admin FB Panglima Singa Berantai yang menyebarkannya dari fb pihak lain pada tarikh 29 Mac 2015 pada jam 20:39 malam serta dikongsi kepada lebih 40 rakan FBnya yang lain dengan catatan yang boleh menjatuhkan imej Pak Amjal.

Saya telah menghubungi beliau dan beliau mengakui dan bertegas gambar poster itu adalah fitnah.

Sehubungan dengan itu, saya dan PAS Kaw Lembah Pantai menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya memfitnah dan menyebar fitnah yang boleh mengeruhkan hubungan antara mana-mana pihak dan merosakkan imej mana-mana individu. Setiap berita yang disebar, selidikilah terlebih dahulu dari pihak yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 31/3/2015

Jasni Abdullah ialah Ketua Penerangan PAS Lembah Pantai

Share on Myspace