EKJS: Nazri patut rujuk Jamil Khir

| .

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom dalam pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (EKJS).

Katanya, tindakan Nazri yang mempertahankan perkataan 'bodoh' dilihat sebagai ketinggalan dan tidak mengikuti perkembangan semasa.

"Sebagai seorang menteri dan ahli politik yang senior, sewajarnya Nazri terlebih dahulu mengambil maklumat yang tepat sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Tindakan beliau mempertahankan perkataan bodoh menunjukkan beliau masih keliru atau tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung langkah PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan  dalam usaha  melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II," katanya.

Menurut beliau lagi, Nazri harus tahu langkah seterusnya yang diambil PAS selepas berjaya meluluskan EKJS baru-baru ini ialah berusaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Jenayat) 1965 (Akta 335) bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah di dalam kes-kes jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Pindaan ke atas Akta 355 ini adalah sebagaimana pindaan biasa ke atas mana-mana akta parlimen dan justeru, ianya hanya memerlukan sokongan majoriti mudah di kalangan ahli-ahli dewan.

"Inilah perkara yang telah disepakati di dalam Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud Peringkat Kebangsaan yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dan telah dipersetujui Jamil Khir," sambung beliau.

Nazri sebelum ini menyatakan bahawa PAS memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan hudud dilaksanakan.

Menurut Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, soal undang-undang jenayah dan kesalahan-kesalahan seperti jenayah membunuh, merogol dan mencuri adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil yang berada dalam kawalan Kerajaan Persekutuan dan dengan itu tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Saya ingin menjelaskan kepada Nazri bahawa soal meminda Perlembagaan adalah tidak berbangkit buat masa ini memandangkan undang-undang hudud adalah merupakan sebahagian dari undang-undang Islam.

"Jadual 9 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa undang-undang Islam adalah berada di bawah kuasa badan perundangan negeri.

"Maka undang-undang hudud yang diluluskan oleh DUN Kelantan tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan dan tidak juga mencerobohi kuasa Kerajaan Persekutuan," tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Namun katanya, PAS menyedari Akta 355 yang ada sekarang masih tidak membenarkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman hudud menyebabkan ia perlu dipinda.

"Memandangkan Akta 355 ini adalah undang-undang persekutuan, maka sepatutnya Kerajaan Persekutuan adalah bertanggungjawab untuk meminda akta ini.

"Bukan sahaja bagi memberi ruang untuk Mahkamah Syariah di Kelantan menjatuhkan hukuman yang menepati perintah Al Quran dan Hadis bagi kesalahan-kesalahan jenayah hudud, tetapi juga sesuai dengan peredaran zaman dalam usaha memertabatkaan kedudukan mahkamah syariah di negara ini.

"Malangnya setakat ini Kerajaan Persekutuan, sebagaimana jawapan Jamil Khir di Parlimen, masih gagal untuk melaksanakan usaha-usaha bagi membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen meskipun Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan pada 15 Disember 2014 yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri telah bersetuju supaya pindaan di buat ke atas Akta 355 ini," kata beliau lagi.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut berkata, jika Umno benar-benar ikhlas dalam membantu Kerajaan Kelantan melaksanakan EKJS sebagaimana yang dicanangkan sebelum ini, maka rakyat akan dapat mengujinya dengan melihat sama ada Rang Undang-Undang Persendirian ahli parlimen yang telah dimasukkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan untuk dibahaskan.

Ini adalah kerana berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 49 (4) Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sesuatu usul untuk membentangkan rang undang-undang persendirian akan hanya boleh diteruskan untuk bacaan kedua dan juga perbahasan sekiranya ia dibenarkan oleh menteri yang berkaitan.

Mahfuz turut berpendapat adalah lebih baik untuk Nazri supaya berterus terang kepada umum apakah sikap sebenar Umno terhadap pelaksanaan EKJS. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace