Hari kelahiran 'makhluk songsang' GST

NASRUDIN HASSAN | .

Setuju atau tidak, hari ini rakyat terpaksa sambut kelahiran GST. Satu sistem percukaian baru diperkenalkan oleh kerajaan Umno dan BN bagi menggantikan cukai SST sebelum ini. Mudahnya cukai GST ini ialah Cukai (yang dikenakan) Barangan dan Perkhidmatan.

Semua rakyat tanpa mengira miskin dan kaya terlibat dengan pembayaran cukai GST.

Kesan langsung dari GST ini ialah kenaikan harga barang. Tiada siapa yang boleh menafikan kesan ini.

Malah lebih runcing apabila terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sewenangnya atas nama GST.

Kerajaan berjanji mahu memantau peniaga agar tidak menaikkan harga barang. Namun ini adalah lagu klasik yang sudah kerap kita dengar.

Sebelum lahirnya 'makhluk songsang' bernama GST ini, dengan kenaikan harga minyak, menjelang hari raya dan sebagainya, kerajaan sudah acap kali menyebut bahawa kami akan pantau peniaga.

Realitinya, pemantauan hanya berlaku seminggu dua dan hanya tertumpu di beberapa tempat tertentu. Sedang kesempatan naik harga ini berlaku di seluruh negara.

Kelahiran GST menjadi igauan ngeri kepada rakyat khasnya mereka yang miskin. Mereka tetap akan menjadi 'mangsa' GST.

Justeru GST adalah seperti 'mesin memerah' hasil dari rakyat untuk mengisi kantung negara. Kini GST dilihat menjadi sumber pendapatan negara dan fenomena ini sangat bertentangan dengan syarat keharusan cukai dalam Islam.

Cukai hanya diharuskan apabila ia bermaksud menampung kekurangan dan keperluan negara, sedang negara tiada sumber dan cara melainkan terpaksa memungut cukai dari rakyat. Itu pun mestilah mengelak sasarkan orang miskin dari senarai pihak yang layak dipungut cukai.

Sementelah negara hari ini terlalu banyak sumber pendapatan, namun dipersiakan melalui pembaziran pada projek yang tidak memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi rakyat.

Ketirisan dana awam dan penyelewengan dalam urus tadbir ekonomi negara antara yang meragut kantung negara.  

Malangnya kerajaan tidak melakukan suatu yang berkesan untuk menangani kes ragut kantung negara sebaliknya hanya berfikir agar cukai dapat dipungut dari rakyat untuk memastikan kerajaan memperolehi pendapatannya yang baharu. Rakyat bagai dipaksa untuk 'bail out' keperluan negara melalui GST.

Sempena hari lahir GST ini, saya sampaikan salam dan ucapan kepada pemimpin kerajaan dengan mengemukakan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al Baqarah: 188) - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace