Yaman, peluang Saudi kukuh kedudukan serantau

HARIS ZALKAPLI | .

YAMAN kini berdepan kemungkinan besar konflik dan krisis yang lebih buruk dan berpanjangan ekoran serangan pakatan diketuai ‪Arab Saudi‬. Hampir semua negara terlibat menganggotai Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan Liga Arab, pertubuhan serantau yang kini dikuasai hampir sepenuhnya oleh Arab Saudi.

Beberapa negara mempunyai kepentingan besar di Yaman, termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Iran. Washington menempatkan tentera di Yaman - sehingga beberapa hari sebelum serangan pakatan diketuai Riyadh - sebagai satu kempen memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) dan menyifatkan kempennya di Yaman itu sebagai satu "model" memerangi pengganas.

Saudi dan Emiriyah mahu mengelakkan daripada Ikhwan melebarkan pengaruh di Yaman, dan ini dijelaskan melalui tindakan mereka tahun lalu yang membenarkan kemaraan Houthi dengan sokongan kuasa yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh mara menguasai Sanaa dan melangkauinya.

Houthi tahun lalu mencapai matlamat yang juga menjadi agenda Saudi dan Emiriyah, iaitu menumpulkan pengaruh Ikhwan al-Muslimin Yaman. Saudi dan Emiriyah secara efektif telah menamatkan gelombang kebangkitan Arab dengan menewaskan Ikhwan di Mesir dan seluruh dunia Arab.

Saudi pada masa sama tetap melihat kepentingan dari sudut persaingan dengan Iran, yang berpotensi meluaskan lagi pengaruh melalui kumpulan Houthi, walaupun Tehran tidak mengawal Houthi sepenuhnya. Saudi kelihatan berada dalam keadaan defensif dalam era kebangkitan di dunia Arab, dan mempunyai persepsi yang diperbesarkan berhubung pengaruh Iran melalui Houthi.

Bagi Riyadh, kepentingannya lebih daripada yang dikemukakan, iaitu mempertahankan pemimpin yang sah, Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi. Beliau ialah pemimpin pro-AS dan Saudi yang dapat mempertahankan kepentingan kuasa-kuasa itu di Yaman.

Saudi telah menunjukkan satu kejayaan apabila dapat berperanan memimpin satu gabungan bersama sembilan negara lain termasuk negara-negara berpengaruh Arab, dan Turki menunjukkan kesediaan menghulur bantuan, tetapi Oman, anggota GCC yang dasar luarnya lebih bebas, tidak menyokong tindakan Saudi.

Persetujuan merapatkan kerjasama ketenteraan negara-negara Arab yang dicapai dalam sidang kemuncak Liga Arab di Mesir menampakkan lagi kejayaan Riyadh mengukuhkan peranan kepimpinannya di dunia Arab, selepas berdepan cabaran kebangkitan Arab yang menjejaskan aturan kuasa yang memihak kepada Saudi.

Penglibatan dan komitmen Mesir menunjukkan pelaburannya yang menghasikan pulangan, dan kesediaan Maghribi, Jordan dan Turki turut serta dalam kempen ketenteraan memperlihatkan pengukuhan pengaruh Riyadh ini.

‪Iran‬ terjejas kerana negara terbaru berpotensi dipengaruhi berdepan tindakan pelbagai negara, yang melihat pemberontak Houthi sebagai satu ancaman serantau. Pada masa sama, sekutunya selama ini, Sudan - yang pernah berperanan sebagai satu laluan membekalkan roket kepada Hamas - bersedia bekerjasama dengan Riyadh dalam operasi ketenteraan di Yaman. Hal ini menunjukkan kepimpinan Saudi diterima hampir sebulat suara di dunia Arab.

Tehran tidak kelihatan memberi bantuan dan sokongan yang besar kepada Houthi seperti didakwa, dan tidak mengawal Houthi seperti halnya Hizbullah di Lubnan. Tetapi seorang ahli Parlimen Iran dengan bangganya mengatakan Sanaa ialah ibu negara keempat dikuasai Iran selepas Baghdad, Damsyik, dan Beirut.

Houthi juga terus menerima sokongan bekas Presiden Ali Abdullah dan tentera yang masih setia kepada beliau, yang membolehkan Houthi mara dengan begitu pantas sejak hujung tahun lalu. Peranan Ali Abdullah mungkin hal yang paling kurang diberi perhatian setakat ini, dengan fokus yang agak besar diberikan pada "perang proksi" Saudi-Iran.

Houthi yang menerima sokongan Ali Abdullah sejak hujung tahun lalu telah semakin menguasai Yaman, dan walaupun mencapai beberapa kepentingan Saudi dan Emiriyah, akhirnya dinilai sebagai menyumbang kepada keadaan tidak stabil. Houthi akhirnya kelihatan memperoleh kuasa yang lebih luas daripada yang dijangka sebelum ini.

Hakikatnya, Ali Abdullah memainkan peranan besar, dan penguasaannya di Yaman selama lebih 30 tahun telah mengukuhkan pengaruhnya sehingga dapat meneruskan penguasaan hingga ke hari ini. Apa yang berlaku di Yaman sejak tahun lalu sukar untuk dibayangkan berlaku tanpa permainan kuasa oleh Ali Abdullah.

Fokus sepenuhnya pada isu yang mencetuskan kekeliruan, melalui pembingkaian dan kata kunci "Syiah" dan "Iran" menenggelamkan lagi dimensi dalaman yang kompleks yang berkait persaingan kuasa antara kelompok dan puak.

Fokus pada isu mazhab akan pasti mencetuskan dan mengukuhkan perdebatan tidak sihat dipengaruhi sentimen berlebihan seperti yang berlaku sepanjang pertempuran di Syria. Sejumlah besar Muslim menyokong atau sekurang-kurangnya tidak menentang serangan ketenteraan ke atas Yaman disebabkan sentimen anti-Syiah yang kuat.

Perkembangan di Yaman ini juga tidak boleh dilihat sebagai tidak berkaitan dengan gelombang kebangkitan Arab dan persaingan geopolitik yang dicetuskan. Arab Saudi bertindak berdasarkan kepentingannya yang didasari geopolitik, melibatkan situasi negara jirannya yang berkongsi sempadan darat yang panjang dan kedudukan di selatan Semenanjung Arab, dekat laluan laut yang penting.

Kemaraan pantas Houthi sehingga menguasai posisi-posisi penting kelihatan menjadi satu sebab yang kuat untuk Saudi mengetuai pakatan menyerang Yaman. Houthi menguasai kawasan lebih luas dan meliputi kawasan berdekatan laluan penting Bab al-Mandeb - laluan sempit di antara Yaman di Semenanjung Arab dan Djibouti dekat Tanduk Afrika - yang terletak di selatan Terusan Suez.

Campur tangan ketenteraan sebelum ini dilaksanakan terhadap Libya di bawah pimpinan Muammar Gaddafi, berdasarkan kepentingan yang bukan kepentingan rakyat terbanyak negara Afrika Utara itu. Dalam kempen itu, Qatar berperanan untuk mencapai agenda dasar luarnya melibatkan penguasaan kumpulan-kumpulan yang dikuasainya di Libya.

Campur tangan kedua kemudian cuba diulangi di Syria, juga berdasarkan kepentingan serantau Qatar dan Arab Saudi. Pada masa itu, penguasaan Riyadh dan Doha dalam Liga Arab semakin kukuh, dan Syria disingkirkan daripada badan serantau itu.

Perkembangan terbaharu ini menjelaskan lagi penguasaan serantau Riyadh, melalui GCC dan Liga Arab. Hal ini ialah sesuatu yang besar bagi Saudi, selepas orde serantau Asia Barat digugat oleh Ikhwan yang disokong Qatar dan Turki, yang bangkit melalui kebangkitan Arab yang mendapat liputan positif dan sokongan dunia.

Pada masa sama, kemaraan Iran juga berjaya ditangani, walaupun di Yaman pengaruhnya masih belum jelas seperti di Lubnan dan Syria. Cabaran-cabaran kebangkitan Syiah yang mendapat sokongan Iran seperti di Lubnan dan Iraq menjadi salah satu sebab yang kuat tindakan Saudi di Yaman.

Masa Riyadh memutuskan untuk campur tangan, lama selepas kemaraan Houthi dari utara ke Sanaa dan ke selatan, dan pada masa rundingan nuklear Iran dengan AS dan lima negara kuasa dunia, menunjukkan implikasi yang luas daripada tindakan Saudi itu, yang tidak dapat dielakkan melibatkan kedudukan hubungan Riyadh dengan Washington berkait Tehran.  

Konflik yang sudah bermula ini bakal meningkatkan lagi ketidak stabilan di rantau Arab, menjejaskan lagi keadaan Yaman yang telah sedia bergolak dengan kemasukan sentimen sektarian dan menyumbang kepada peranan lebih besar kuasa-kuasa asing. Apa yang berlaku di Syria telah menunjukkan bagaimana akibat campur tangan asing. – HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace