PAS sokong pindaan perlembagaan perkasa SPRM

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS akan memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi penggubalan undang-undang bagi memperkasakan suruhanjaya tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian tersebut ketika berucap pada makan malam bersama SPRM di bangunan Parlimen, malam tadi.

Beliau berkata, seramai 21 orang ahli parlimen PAS akan memberi sokongan penuh bagi memudahkan pindaan itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga dewan.

"Saya jamin seramai 21 orang Ahli Parlimen kita akan memberi sokongan jika ia dibentangkan di parlimen nanti.

"Kita ingin melihat agar SPRM ini menjadi satu badan bebas dan diperkasakan bagi membanteras gejala rasuah yang semakin berleluasa yang jelas dosa serta merosakkan negara," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, PAS sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dan 'membuka pintu' kepada SPRM untuk menyiasat jenayah rasuah termasuk dalam kalangan anggota parti itu sendiri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, sokongan yang diberikan PAS ini amat penting bagi meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM.

"Saya berterima kasih dengan pendirian dan janji yang diberikan Presiden PAS tentang sokongan 21 Ahli Parlimen PAS dalam menyokong pindaan ini nanti.

"Dengan sokongan ini akan membolehkan SPRM membanteras rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa dengan lebih berkesan serta bebas tanpa dipengaruhi mana- mana pihak," ucap beliau yang turut hadir pada pertemuan tersebut.

Menurut beliau lagi, peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bertujuan membolehkan badan itu melantik dan memecat pegawainya secara bebas tanpa melalui proses biasa yang dilalui penjawat awam iaitu menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pindaan itu akan memperuntukkan ketua pesuruhjaya dilantik secara bebas melalui perlembagaan dan persetujuan Majlis Raja-Raja," sambung beliau lagi.

Pindaan itu akan melibatkan dua perkara utama iaitu menambah peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM dan pelantikan ketua pesuruhjaya badan bebas itu. - HARAKAHDAILY 4/1/2015

Share on Myspace