GST: Kita uji kata menteri, harga naik atau turun

| .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meminta pengguna yang membuat sebarang pembelian pada hari ini mengirimkan gambar resit ke media sosial.

Ini katanya sebagai menguji kata-kata menteri bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula hari ini akan menurunkan harga barang.

"Hari ini kita menguji kata-kata pak menteri, pelaksanaan GST 1 April kurangkan harga barang.

"Mohon kirimkan gambar resit teman-teman yang buat belian barang hari ini. Kita pakat tengok, naik atau turun," tulisnya di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, jika harga barang menunjukkan kenaikan, beliau yakin pengundi tahu apa yang harus dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Jika naik harga kita sebagai pengundi sudah tau apa yang perlu diturunkan dalam PRU nanti," tulisnya lagi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, GST merupakan satu sistem percukaian yang terbukti dapat menurunkan harga barang.

Beliau juga berkata, pelaksanaan GST juga bukan perbuatan 'April Fool'. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace