GST: Miskin terhimpit, orang kaya untung

SYAHIR SULAIMAN | .

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 188)
 
GST TELAH TIBA
 
Pada 1 April 2015, Malaysia telah melangkah ke era baru, di mana setiap warganegara tanpa mengira tua atau muda, kaya atau miskin, akan menyumbangkan 6 peratus daripada setiap ringgit pembelian barangan runcit dan keperluan harian kepada penguasa di Putrajaya, untuk diagihkan kembali kepada rakyat jelata.
 
GST merupakan regim cukai yang sifatnya lebih meluas (broader tax-base), “yang dikenakan ke atas setiap barangan, kecuali yang dikeluarkan daripada senarai cukai” (everything is taxable, except excluded), berbanding regim cukai SST di mana “semua barangan tidak dikenakan cukai, kecuali yang dimasukkan dalam senarai cukai” (everything is non-taxable, except included).
 
Oleh sebab GST itu sifatnya meluas dan melebar, “cukai akan dibayar oleh semua orang, pada setiap masa, dan di atas semua barangan”. Ia jelas berbeza dengan sistem cukai sedia ada, “yang dibayar oleh orang tertentu, pada masa tertentu, dan di atas barangan tertentu”. Malah, GST jauh lebih regresif (mundur) berbanding zakat “yang dikenakan ke atas Muslim yang berkemampuan, pada masa tertentu (haul), dan pada kadar kekayaan tertentu (nisab)”.
 
Justeru, GST yang dikenakan ke atas setiap barangan dan perkhidmatan ini akan dipungut setiap kali berlakunya transaksi jual beli, kerana ia adalah cukai ke atas perbelanjaan (consumption-tax), bukannya ke atas pendapatan (income-tax), ataupun harta (seumpama zakat). Ia bakal dipungut 24-jam sehari 7-hari seminggu (24-7), seumpama operasi kedai serbaneka ‘7-11’, dan mengaut setiap barangan sebagaimana ‘pukat tunda’ yang digunakan nelayan pantai dalam secara haram, yang mengaut setiap ikan dan rumpair, seterusnya menjejaskan ekosistem di dasar laut yang wajib dipelihara.
 
Juga perlu difahami bahawa nisbah kecenderungan untuk berbelanja adalah tidak sama di antara orang kaya dan miskin. Orang miskin cenderung untuk berbelanja lebih tinggi daripada nisbah pendapatan mereka (higher marginal propensity to consume, in proportion of their income), berbanding orang kaya yang cenderung untuk berbelanja lebih rendah daripada nisbah pendapatan mereka (lower marginal propensity to consume, in proportion of their income). Dengan GST ini, yang paling terhimpit adalah golongan miskin dan pertengahan, yang sebahagian besar daripada pendapatan mereka dihabiskan untuk perbelanjaan (consumption), berbanding orang kaya yang sebahagian besar daripada pendapatan mereka diperuntukkan untuk simpanan (savings) dan pelaburan (investments).
 
Ringkasnya, jika dahulu hanya yang kaya dan bekerjaya membayar cukai, kini semua orang mampu membayar cukai. Meminjam slogan AirAsia, “Now everyone can pay tax”.
 
GST, ADA BAIK DAN BURUK
 
Adalah tidak adil untuk menafikan kebaikan GST, khususnya sebagai jalan terakhir untuk kerajaan meningkatkan hasil cukai bagi menampung defisit bajet yang sudah berlarutan sejak tahun 1998 berturut-turut. Rakyat juga perlu sedar bahawa rizab petroleum yang diurus Petronas kian menyusut dan menyumbang kepada penyusutan sumber pendapatan kerajaan, seterusnya merencatkan usaha kerajaan untuk menjana pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat (BR1M dll).
 
Malah, dengan regim cukai GST ini, peniaga dan pekerja yang sebelum ini tidak membayar cukai, kini tidak lagi boleh lari daripada menunaikan tanggungjawab untuk membayar cukai, dan akan turut membayar cukai bersama golongan yang sebelum ini tidak pernah membayar cukai seumur hidup mereka, seperti golongan petani, nelayan, pelajar dan suri rumah. Tambahan pula, Malaysia kini boleh berbangga setelah menyertai kelab 160 buah Negara-GST, sebaris dengan negara-negara maju di dunia.
 
Manakala keburukan GST, ringkas sahaja. Ia sangat membebankan setiap rakyat, khususnya  golongan miskin dan pertengahan, dan ia diambil oleh kerajaan secara paksaan tanpa kerelaan.
 
PILIHAN YANG ADA
 
Regim cukai GST ini, setelah dikuatkuasakan pada 1 April 2015 akan terus berjalan dan sukar untuk ditarik-balik, seumpama ‘one-way ticket’, kerana ia melibatkan perubahan secara menyeluruh dalam sistem ekonomi dan perniagaan.
 
Di pihak kerajaan, hanya ada dua pilihan; (1) untuk mengekalkan kadar GST 6 peratus atau (2) mengurangkannya di bawah kadar GST 6 peratus. Manakala di pihak peniaga, mereka tiada pilihan dan hanya melaksanakan apa yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan, dalam setiap invois dan bil transaksi penjualan.
 
Di pihak rakyat pula, hanya ada dua pilihan; (1) untuk memilih kerajaan yang akan mengekalkan kadar GST 6 peratus atau (2) memilih kerajaan yang akan mengurangkannya di bawah kadar GST 6 peratus.
 
Pesanan saya, simpanlah resit pembelian pertama anda pada 1 April 2015, yang memaparkan nilai cukai GST 6 peratus yang telah disumbangkan oleh anda kepada Putrajaya, sebagai bukti bahawa anda telah menunaikan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia, dan seterusnya menuntut ketelusan dan keadilan di pihak Putrajaya.  
 
Benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh Benjamin Franklin (1789), “In this world nothing can be said to be certain, except death and taxes”.
 
Mati dan GST itu pasti. Janganlah kita dipatuk ular dua kali melalui lubang yang sama. – HARAKAHDAILY 1/4/2015
 
- penulis ialah Pengarah Kajian Polisi Pemuda PAS

Share on Myspace