Biadab: Adun PR Perak bidas Zambry

| .

ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak menghormati institusi Diraja dan menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Sultan Perak.

Adun-adun Pakatan Rakyat Negeri Perak membidas tindakan Menteri Besar Perak membuat tuduhan melulu tanpa soal tanya.

Saya merujuk kepada tuduhan Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry bin Abdul Kadir bahawa Adun-adun Pakatan Rakyat (PR) telah bertindak biadab dan tidak menghormati DYMM Tuanku Sultan Perak apabila kami berpakaian hitam pada hari pembukaan DUN Perak semalam.

Kami ingin membidas tindakan Datuk Seri Zambry mengeluarkan tuduhan melulu yang begitu kesat tanpa bertanya kenapa kami berpakaian hitam pada sidang pembukaan Dun Perak.

Semua Adun PR berpakaian hitam pada 31 Mac 2015 sempena Pembukaan Rasmi Penggal Ketiga Dewan Negeri Perak sebagai tanda protes dan menunjuk solidariti dalam perkara-perkara berikut:

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan 5 tahun secara tidak adil.

2. Pemenjaraan dan hukuman denda terhadap OKZ 13 yang membantah penggulingan kerajaan PR yang dipilih rakyat secara tidak demokratik.

3. Tangkapan dan penahanan sewenang- wenangnya terhadap terhadap Chang Lih Kang (Adun Teja ) dan Tan Kar Hing (Adun Simpang Pulai) dan lain lain pemimpin dan wakil rakyat PR.

4. Bersama rakyat membantah pelaksanaan cukai GST yang bermula pada 1 April 2015 (hari ini).

Berpakaian serba hitam pada hari pertama Pembukaan Rasmi Sidang DUN tidak menyalahi peraturan dan perintah tetap. Pemakaian kot dan tali leher telah diamalkan lama sebelum ini di Dun Perak. Penggunaan warna dan simbol-simbol untuk mengutarakan sesuatu isu atau bantahan merupakan cara bertamadun dalam zaman moden ini. Pemakaian serba hitam oleh ahli ahli parlimen juga berlaku semasa pembukaan sesi parlimen baru-baru ini oleh DYMM YDP Agong untuk mengutarakan isu dan bantahan. Di parlimen tidak ada apa-apa tuduhan bahawa ahli-ahli parlimen ini telah bertindak biadab terhadap DYMM YDP Agong atau parlimen oleh pihak Kerajaan terhadap mereka.

Semua pihak mesti memahami peranan wakil-wakil rakyat dalam satu sistem demokrasi. Adalah menjadi kewajipan dan tugas wakil rakyat untuk mendapat perhatian pihak berkuasa menyelesaikan ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan masalah rakyat yang timbul.

Tuduhan melulu Datuk Seri Zambry melabel Adun-adun PR sebagai biadab dan tidak menghormati Tuanku Sultan hanyalah permainan politik beliau untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap isu-isu sebenar yang telah menimbulkan kemarahan rakyat.

Kami berharap Datuk Seri Zambry tidak memberi gambaran yang terpesong kepada DYMM Tuanku Sultan tentang sebab kenapa kami berpakaian hitam pada hari pembukaan DUN semalam.

Kami ingin menjelaskan bahawa kami langsung tidak ada apa apa niat meremehkan pembukaan persidangan DUN Perak atau tidak menghormati DYMM Tuanku Sultan Perak. Kami ingin menyatakan bahawa kami menghormati institusi di raja dan bertaat setia tidak belah bagi kepada DYMM Tuanku Sultan Perak.

1 April 2015

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Ketua Pembangkang)
bagi pihak semua ADUN PR Perak.

Share on Myspace