GST: PR terus bersuara keras perjuang nasib rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menegaskan terus bersuara dengan keras untuk memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi perhatian kepada permasalahan yang timbul akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul pada sidang media di parlimen hari ini berkata pelaksanaan GST yang bermula hari ini merupakan titik hitam dalam sejarah negara, di mana kerajaan terus tertegas melaksanakan sistem percukaian regresif dan menekan hidup rakyat.

"Hari ini rakyat Malaysia akan melihat harga barang terus naik, walhal gaji dan pendapatan rakyat terbanyak tidak meningkat sepantas yang diharapkan.

"Pakatan Rakyat menegaskan bebanan terhadap rakyat terbanyak akan bertambah berat dan pasti ramai yang terkesan akibat pelaksanaan GST ini," katanya.

Tambah beliau lagi, usaha dan dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meringankan beban rakyat tidak memadai dan ditambah pula dengan pelaksanaan yang tempang dan tidak bermaya.

Sementara itu, Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata sikap tidak endah kerajaan untuk mendengar rintihan rakyat serta pandangan pimpinan lain amat mengecewakan.

"Jelas bila kita tegur dengan pelbagai pandangan dan pendapat tentang kesan GST kerana tetap meneruskannya.

"Ini membuktikan GST digunakan untuk membayar segala hutang negara, beban negara ditanggung sepenuhnya boleh rakyat.

"Kerajaan perlu ada insiatif baru dalam mencari sumber pendapatan negara bukannya menggunakan poket rakyat untuk membayar segala kerugian yang dilakukan kerajaan," jelas beliau.

Pakatan Rakyat akan terus membangkitkan kesusahan dan keperitan yang dialami oleh setiap lapisan masyarakat, agar pemerintah di Putrajaya mendengar dan faham suara hati dan kesengsaraan hidup dengan terlaksananya GST.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Whip DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace