Siapa Ketua Pembangkang, dibincang selepas PRK

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memberitahu kedudukan siapa calon Ketua Pembangkang hanya akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh nanti.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke berkata sehingga sekarang tidak ada sebarang perbincangan mengenai siapa yang layak menduduki tempat tersebut.

"Kita tidak bincang siapa, kalau bincang pun selepas pilihan raya kecil dan itu jika kekosongan kerusi diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Begitu juga mengenai calon yang akan bertanding ia akan ditentukan oleh PKR nanti, apa-apa keputusan kita akan buat selepas itu," kata beliau pada sidang media bersama Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar dan PKR Datuk Johari Abdul.

Sebelum itu Lembaga Pengampunan telah menolak petisyen Pengampunan Diraja dalam kes liwat membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan tersebut menyebabkan Anwar telah hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen.

Pada 24 Februari lalu, keluarga Anwar telah menghantar permohonan pengampunan Diraja atas kesabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan itu telah diserahkan kepada pihak istana di Istana Negara di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang menghantar afidavit kepada mahkamah memaklumkan bahawa lembaga telah melupuskan petisyen itu.

Afidavit yang disahkan oleh Ketua Pengarah bahagian undang-undang Jabatan Perdana Menteri telah dihantar kepada pemohon iaitu afidavit itu menyeru bahawa Anwar harus kekal dalam tahanan. – HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace