GST: Jadi kos mewarnakan rambut di rumah RM1,272

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kalau kena GST tentu membebankan sebab khabarnya khidmat mewarnakan rambut di rumah memakan belanja hingga RM1,200.

Demikian tulis Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam blognya, hari ini.

"Kalau RM1,200 GSTnya RM72. Jadi kos mewarnakan rambut di rumah mulai tengah malam ini RM1,272," tulisnya lagi.

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk Selamat Menunaikan GST.

GST bukan jenaka, lawak, tipu atau olok-olok April Fools. Itu bukan kata saya. Itu kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Dalam bahasa orang putih dia kata: "This is not an April Fool's joke, GST will be implemented." (Ini bukan jenaka April Fools, GST akan dilaksanakan.)

Tidak siapa pun, kecuali “fools” (orang bangang*) menganggap Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebagai jenaka, lawak, tipu atau olok-olok.

Semua orang yang siuman, termasuk kanak-kanak sekolah, dan orang yang tidak nyanyuk tahu bahawa menjelang 12 tengah malam ini, bersamaan 1 April 2015, GST akan dikuatkuasakan.

Selamat menunaikan tanggungjawab membayar GST.

Saya kurang pasti sama ada perkhidmatan menggunting, mendandan dan mewarnakan rambut serta membuat rawatan kuku tangan (manicure) dan kuku kaki (pedicure) di rumah dikenakan GST.

Kalau hendak tahu, tanyalah Ahmad Maslan. Tapi kalau tidak yakin juga boleh tanya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek.

Kalau kena GST tentu membebankan sebab khabarnya khidmat mewarnakan rambut di rumah memakan belanja hingga RM1,200. Kalau RM1,200 GSTnya RM72. Jadi kos mewarnakan rambut di rumah mulai tengah malam ini RM1,272.

[Tuan punya salah sebuah kedai kopi yang kerap saya kunjungi memberitahu mulai 1 April dia akan mengenakan GST 6%. Sebelum ini dia tidak kenakan apa-apa cukai.]

Harap-harap benarlah ikrar GST yang berbunyi “membangun dan maju bersama” selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana GST adalah cukai yang terangkum (inclusive). Siapa berbelanja, tak kira miskin atau kaya, akan kena.

Wallahuaklam.

* Istilah ini dipinjam daripada Perdana Menteri.

Share on Myspace