Nelayan dan petani tak iktiraf konsultasi TPPA

| .

 

KAMI mendapat maklumat bahawa untuk ke sekian kalinya, MITI akan menganjurkan satu diskusi khas berkenaan TPPA pada 2 dan 3 April ini di MATRADE Kuala Lumpur. Diskusi ini akan mengandungi dua sesi iaitu sesi ‘town hall’ dan sesi ‘makmal tertutup’. Kami ingin menegaskan bahawa sesi-sesi diskusi seperti ini tidak boleh dianggap sebagai ‘public consultation’ kerana ia dilihat hanya bertujuan untuk mengaburi mata kami kononnya isi perjanjian TPP ini diterima oleh masyarakat umum. Kami mengatakan begitu kerana dalam sesi-sesi ‘konsultasi’ TPPA sebelum ini, pihak MITI masih berdolak dalih dalam menjawab beberapa persoalan penting iaitu adakah perkara-perkara yang berikut dijamin (berserta bukti) oleh pihak Kerajaan;

I. TPPA tidak menjejaskan subsidi pertanian Malaysia semasa dan masa depan dalam apa jua cara.

II. TPPA tidak mengurangkan tarif ikan dan produk pertanian Malaysia dalam apa-apa cara.

III. TPPA mengekalkan hak Malaysia untuk mengambil apa-apa langkah yang berkaitan dengan pertanian diatas kepentingan Sekuriti Makanan Negara dan Kedaulatan Makanan Negara.

Kami sedar akan kepentingan mempertahankan hak untuk kedaulatan makanan Negara dan menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak sebarang usaha ke arah Kolonisasi Korporat terhadap industri pertanian negara serta melindungi Dasar Sekuriti Jaminan Makanan Negara dan mempromosi usaha-usaha ke arah mempertahankan Kedaulatan Makanan Negara. Dasar Sekuriti Jaminan Makanan Negara seharusnya menumpukan peningkatan bekalan makanan domestik untuk keperluan negara dan Kedaulatan Makanan Negara seharusnya menjamin hak rakyat untuk menentukan sendiri sistem makanan mereka untuk memperoleh makanan hasilan lokal yang bersih, sihat dan bebas daripada unsur-unsur kawalan korporat dan spekulasi pasaran.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) seharusnya menumpukan usaha dan mempromosi perdagangan yang benar-benar bebas, adil dan selamat di antara negara-negara yang terlibat. Oleh kerana isi-isi penting perjanjian ini dirahsiakan seolah-olah untuk menyembunyikan keburukannya, kami merujuk kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) Amerika dengan negara-negara lain, Amerika Syarikat mahu semua tarif ke atas produk Amerika dihapuskan dalam masa 10 tahun bagi produk-produk perikanan dan 17 tahun bagi semua produk pertanian lainnya. Peru adalah sebuah negara yang turut berada di dalam TPPA dan telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikay (USFTA) baru-baru ini . Perjanjian US-Peru FTA bole dijadikan rujukan dalam hal ini.

Selain itu, Amerika Syarikat juga dalam perundingan TPPA ini dilaporkan telah mendesak negara anggota untuk menghapuskan subsidi ke atas produk-produk pertanian. Bab perkhidmatan dan pelaburan dalam perjanjian ini pula secara langsung boleh memberi kesan kepada nelayan dan petani. Bab ini membolehkan seberapa banyak kapal-kapal dari negara-negara TPP lain untuk menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa sekatan dan syarikat-syarikat pertanian dari negara-negara TPP lain yang boleh membuka lading-ladang besar dimana-mana sahaja yang mereka mahu dalam Malaysia. Bab ini juga menetapkan Malaysia mesti membenarkan pemberian lesen menangkap ikan kepada individu atau syarikat dari negara-negara TPP lain sebagai pelaburan, jika lesen yang mereka perolehi dibatalkan untuk kepentingan negara dimasa hadapan, mereka boleh menuntut pampasan bagi keuntungan mereka yang hilang untuk tempoh baki lesen tersebut melalui mahkamah ISDS (Investor State Dispute Settlement). Nelayan Malaysia tidak boleh menggunakan bab ini untuk menyaman kerajaan atas hal lesen menangkap ikan , hanya nelayan asing dari negara-negara TPP lain boleh menyaman kerajaan Malaysia melalui ini, bermakna hak yang lebih besar untuk nelayan asing daripada nelayan tempatan.

Tarif dan subsidi bagi produk pertanian dan perikanan adalah bertujuan untuk melindungi kebajikan petani, penternak dan nelayan tempatan dan bagi menjamin hak Kedaulatan Makanan Negara. Jika tariff dan subsidi ini dihapuskan kami menjangkanan akan berlaku lambakan hasil pertanian dari negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia lalu membunuh industri pertanian tempatan. Tanpa industri pertanian tempatan yang kukuh, Malaysia perlu bergantung sepenuhnya kepada produk makanan dari luar. Industri beras tempatan ketika ini masih boleh bertahan dengan tarif 40% keatas beras import. Apa yang lebih membingongkan, Amerika mahu subsidi produk pertanian negara lain dihapuskan sedangkan produk pertanian Amerika masih disubsidi di bawah TPP. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

April 1, 2015

Ditandatangani Oleh:
Bela Tani
Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung Malaysia (JARING)

(Bela Tani ialah ahli Bantah TPPA)

Share on Myspace