PR Perak bimbang GST tingkat kadar pengangguran

| .

 

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melahirkan kebimbangan kemungkinan kadar pengangguran di negara ini khususnya di negeri itu semakin meningkat akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, kemungkinan ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan mereka untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana sistem cukai itu.

Justeru beliau mempersoal kesediaan Kerajaan Negeri Perak melaksanakan GST dan persiapan serta simulasi yang dilakukan terhadap apa yang akan berlaku apabila GST berkuat kuasa.

"Jika sudah bersedia, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang RM5,000 sebulan.

"Apakah kesannya terhadap hutang seisi rumah, hakikatnya tanpa GST rakyat marhaen sudah pun hidup dengan hutang sekeliling dan bagaimana pula apabila ditekan dengan GST," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Sultan Perak, dekat sini semalam.

Mohamad Nizar yang juga Adun Changkat Jering turut mempersoal kesan GST kepada golongan tua serta pesara.

Jika kerajaan menyedari hakikat kesan daripada perlaksanaan cukai tersebut katanya, kerajaan seharusnya mempunyai tindakan susulan untuk membantu rakyat mengurangkan beban dalam menghadapinya.

Tegas beliau, kerajaan negeri sepatutnya telah membuat kajian terhadap kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan yang akan datang sejurus GST dilaksanakan di dalam negara ini.

"Jika ya, adakah Kerajaan Perak sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangka untuk mengelakkan rakyat tertekan serta terbeban dalam menghadapi kehidupan seharian mereka," tegasnya lagi.

Kerajaan mula melaksanakan GST bermula semalam dengan kadar enam peratus. - HARAKAHDAILY 2/4/2015

Share on Myspace