TPPA: Peserta kena tandatangani OSA, NDA?

S M MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat kecewa bahawa peserta yang dijemput menghadiri sesi makmal yang berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dikehendaki menandatangani Deklarasi Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Perjanjian Bukan Pendedahan (Non-Disclosure Agreement - NDA).
 
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menjemput CAP untuk mengambil bahagian dalam sesi townhall dan makmal tertutup TPP yang diadakan pada 2 dan 3 April 2015. Surat jemputan menyatakan bahawa sesi ini dijalankan untuk meningkatkan engagement serta mendapatkan input daripada pelbagai pihak dan yang proses ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan dalam merundingkan perjanjian TPP.
 
Oleh itu, ia adalah ironik bahawa peserta dikehendaki menandatangani Deklarasi OSA dan NDA. CAP sebelum ini telah menolak jemputan oleh MITI pada bulan Disember 2014 untuk menjadi cleared advisor kerana kami dikehendaki mematuhi fasal kerahsiaan. Sebagai maklum balas untuk jemputan itu, CAP telah menyatakan bahawa sebagai sebuah organisasi masyarakat sivil yang komited dalam menjadi suara rakyat akan terdapat konflik kepentingan jika CAP menjadi cleared advisor yang bersumpah untuk menyimpan rahsia.
 
Dalam perkembangan yang sama, kami mencela penggunaan OSA dan NDA dalam sesi makmal TPPA kerana ia cuba menghalang peserta daripada mendedahkan teks rundingan. Sejak awal rundingan TPP, CAP telah menggesa pendedahan umum teks rundingan. Oleh itu, CAP akan menyangkal diri jika dikehendaki menandatangani Deklarasi OSA dan NDA. Kami memaklumkan kepada MITI bahawa CAP tidak akan tunduk kepada suatu perjanjian yang akan memberi impak kepada rakyat dan mengalah kepada permintaan syarikat dan negara lain.
 
Pendirian kami dalam rundingan TPP ialah Malaysia perlu tarik diri dan tidak menandatangani TPPA tersebut. Gesaan terbaru CAP kepada kerajaan adalah atas alasan berikut:
 
• Syarikat Multi-nasional (Multi-national Corporations - MNC) memulakan dan memandu perundingan TPPA. Teks perjanjian itu telah disediakan oleh pakar-pakar undang-undang mereka dan dirahsiakan, jauh dari pandangan orang ramai kerana takut bantahan terhadapnya. Malah Senator Amerika Syarikat Sherrod Brown mengkritiknya dengan berkata: "Ini meneruskan tradisi Amerika di mana syarikat menulis perjanjian perdagangan, tidak berkongsi dengan sesiapa, dan kerap mengorbankan kepentingan pengguna, kesihatan awam dan pekerja"
 
• Tujuan kembar TPPA adalah memudahkan penembusan pasaran oleh MNC yang berpotensi menjejaskan kepentingan ekonomi dan sosial kita dan menggalakkan kepentingan geo-politik Amerika Syarikat contohnya membendung China.
 
• Ia masih belum menunjukkan kepada orang ramai apa faedah yang kita akan dapat daripada perjanjian yang akan mempunyai implikasi yang serius terhadap kesihatan awam, alam sekitar, dasar-dasar sosio-ekonomi dan kedaulatan negara.
 
• TPPA memberi hak kepada pelabur korporat asing untuk menyaman kerajaan untuk tindakan yang melemahkan "jangkaan/harapan" dan menggugat perniagaan mereka. Harapan keuntungan perniagaan seharusnya bukanlah kebimbangan kerajaan tetapi pelabur yang patut mengambil risiko. Jika langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melindungi dan menggalakkan kepentingan dan keperluan rakyatnya menjejas "jangkaan" keuntungan pelabur, mengapa mesti rakyat membayar pampasan kepada kerugian tersebut? Dalam ideologi pasaran bebas, peniaga sepatutnya memikul risiko mereka. Peniaga tempatan menghadapi risiko tersebut tanpa bantuan kerajaan. Mengapa mesti syarikat asing besar dilindung daripada risiko perniagaan?
 
• Beberapa dasar/undang-undang yang digubal kerajaan pada masa hadapan untuk melindungi alam sekitar, meningkatkan penjagaan kesihatan atau menggalakkan keadilan sosial boleh dicabar oleh MNC dan kita mungkin terpaksa membayar berbilion-bilion ringgit sebagai pampasan dan dasar/undang-undang itu dibatalkan. Mengapa kita perlu mengambil risiko ini?
 
• Mengenai implikasi tanggungjawab kerajaan bagi kerugian korporat, Senator Amerika Syarikat, Charles E. Schumer berkata: "Ini adalah benar-benar merisaukan. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa konglomerat asing yang kaya boleh mencabar pelbagai undang-undang yang kita luluskan pada setiap peringkat kerajaan, ... "
 
• Peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Kerajaan (Investor-State Dispute Settlement -- ISDS) membenarkan syarikat asing untuk mengemukakan tuntutan kepada penimbangtara swasta, bukan mahkamah tempatan, menentang kerajaan dalam dakwaan kesan buruk terhadap pelaburan mereka kerana tindakan yang diambil kerajaan. Penimbangtara tersebut tidak bebas dan selain menjadi penimbangtara mereka juga mewakili syarikat-syarikat besar dalam tuntutan mereka. Lebih daripada 100 sarjana undang-undang, dalam surat kepada Kongres Amerika Syarikat menyatakan: "ISDS mengancam kedaulatan negara dengan memberi kuasa kepada syarikat asing untuk memintas sistem mahkamah tempatan dan secara peribadi menguatkuasakan syarat perjanjian perdagangan. Ia melemahkan kedaulatan undang-undang dengan menghapuskan perlindungan prosedur sistem keadilan dan menggunakan sistem pengadilan yang  tidak jelas dan tidak boleh dikaji semula.
 
• Kesan peruntukan perlindungan pelabur dalam TPPA adalah menghadkan kuasa Parlimen untuk meluluskan undang-undang demi kepentingan rakyat dan perlindungan alam sekitar agar ia patuh kepada TPPA. Ia melanggar perlembagaan untuk membolehkan tribunal ISDS menindih undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Ia seolah-olah menyerahkan kuasa veto legislatif kepada ISDS ke atas undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Terdapat bantahan yang tidak terkira banyaknya daripada rakyat daripada negara-negara yang merundingkan TPP kerana perjanjian perdagangan seperti TPP mementingkan korporat, dan bukan awam. Jika TPP adalah perjanjian yang baik untuk semua, kerajaan yang merundingkan perjanjian ini harus berani menunjukkan kepada rakyat dengan tepat apa yang ada dalam perjanjian ini, dan bukannya merahsiakan kandungan TPP.  
 
Kesimpulannya, TPPA adalah perjanjian perdagangan yang bertujuan untuk melindungi kepentingan syarikat-syarikat besar dengan mengorbankan kepentingan pekerja, pengguna, alam sekitar dan asas-asas demokrasi kita. TPPA akan memberi kesan negatif kepada berjuta-juta orang terutama golongan miskin dan terpinggir di semua negara-negara yang merundingkan TPP. Oleh itu kami menggesa Malaysia untuk tidak menandatangani perjanjian ini dan menghentikan kerahsiaan. – HARAKAHDAILY 2/4/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Share on Myspace