Tarik balik ketum kejayaan kecil Pakatan Rakyat

| .

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin meminta kerajaan membuat kajian terlebih dahulu berkaitan impak pelaksanaan akta baru sebelum sebarang Rang Undang-undang (RUU) dibentangkan di parlimen.

RUU Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam bagi menyediakan takrifan baharu bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya ditarik balik semalam.

"Penarikan balik RUU mengenai daun ketum semalam merupakan satu kejayaan kecil Pakatan Rakyat.

"Kita membantah kerana terlalu banyak impak yang perlu kita hadapi dan kerajaan sebelum membuat sebarang pembentangan perlu ada kajian secara menyeluruh apa kesan di sebaliknya," katanya ketika ditemui Haakahdaily di parlimen hari ini.

Menurut beliau, tindakan tergesa-gesa kerajaan membuat pembentangan di parlimen sehinggakan banyak bantahan dari ahli-ahli parlimen mengambarkan kerajaan tidak mengkaji terlebih dahulu kesan jika ia dilaksanakan nanti.

"Hendak masukkan daun ketum dalam Akta Dadah Berbahaya adalah tidak wajar kerana di sebelah utara semenanjung ia merupakan satu perkara biasa.

"Malah perbahasan dari mereka yang bergelar doktor turut memberitahu tidak ada kesan sampingan sebaliknya memberi kebaikan kepada mereka yang menggunakannya.

"Apa yang menjadi kesalahan adalah jika ia diproses dengan cara yang salah iaitu mencampurkan dengan pelbagai bahan lain bagi tujuan untuk mendapatkan kesan lebih teruk," katanya lagi.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut menegaskan, bantahan pelaksanaan pindaan RUU ini bukan bermaksud menyokong penggunaan daun ketum tetapi memikirkan kesan hukuman nanti.

"Kalau diluluskan sesiapa yang memiliki daun ketum akan ditangkap malah tidak boleh dijamin dan paling teruk adalah penjara seumur hidup serta enam sebatan.

"Pokok ketum ini tumbuh secara liar dan ia bukannya ditanam serta bukan peladangan, kita tidak tahu pun pokok ketum tumbuh di sekitar rumah dan kalau undang-undang ini dilaksanakan apa akan berlaku," kata beliau lagi.

Hanipa turut mencadangkan Akta Racun 1952 diubah dengan meningkatkan lagi hukuman berkaitan penggunaan daun ketum.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut berkata, Akta Racun 1952 yang ketika ini digunakan bagi mengawal penyalahgunaan daum ketum, tidak cukup kuat untuk mengekang aktiviti tersebut.

Justeru katanya, adalah menjadi keperluan untuk mentakrifkan ketum sebagai dadah berbahaya, supaya kawalan lebih ketat terhadap penyalahgunaan bahan itu dapat dilaksanakan. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace