GST: Majlis Fatwa nasihat pemimpin, bukan sekongkol

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menjadi halal semata-mata atas alasan kerajaan memerlukan dana bagi membangunkan negara dan keperluan rakyat bagi memenuhi kehendak yang bersifat daruriyyah dan hajiyyah sebagaimana yang dikeluarkan kenyataan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Alasan ini bukanlah pandangan syarie yang sebenar melainkan untuk menggembirakan hati pemimpin," ujar Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, mereka tidak menasihati pemimpin, sebaliknya bersekongkol dan mencari dalil bagi membenarkan kezaliman pemimpin.

Justeru, katanya Majlis Fatwa perlu berfungsi sebagai penasihat sebelum keputusan kerajaan dibuat dan bukannya sebagai majlis ‘endorsement’ kepada keputusan kerajaan selepas keputusan diambil.

"Persoalan besar ialah kenapa dana kerajaan semakin mengecil sedang sumber negara yang sangat banyak?

"Selama 57 tahun yang lalu, kerajaan tidak pernah memerlukan GST, mengapa sekarang perlu?" tanya beliau.

Beliau berkata, GST bukan penyelesaiannya jika punca sebenar dana negara meleset tidak diambil perhatian.

"Lihatlah bagaimana kerajaan sudah meminta RM2.2 bilion peruntukan tambahan pada suku perjalanan 2015.

"Ia adalah sangat tidak adil untuk meletakkan bebanan di atas bahu rakyat di atas pembaziran kerajaan," katanya

Tambahnya, salah urus ekonomi, pelaburan di tempat yang sekadar membawa dana kerajaan masuk ke poket orang tertentu serta rasuah yang berleluasa, semua perkara ini tidak halal.

Beliau menambah, jenayah ini mesti dicegah dahulu sebelum rakyat dipaksa dengan cukai yang membebankan mereka dan inilah sepatutnya menjadi fokus Majlis Fatwa untuk menyembuhkan negara.

"GST ini ibarat simbah air pada asap. Air kena disimbah pada api," katanya.

Beliau berkata, lihat bagaimana fatwa yang dikeluarkan oleh Izzuddin Abdus Salam (Al-Izz) terhadap Sultan Qutuz yang bercadang mengenakan cukai kepada rakyat atas alasan dana kerajaan yang semakin kecil, dan negara sedang berperang dengan musuh, oleh itu ia perlu untuk membeli senjata, keperluan makan tentera dan ubat-ubatan.

Jelasnya, Al-Izz sebaliknya menyatakan: "Adalah haram bagi kerajaan mengenakan cukai kepada rakyat melainkan setelah kerajaan menghentikan pembaziran, menjual segala kemewahan yang ada di istana dan setelah semua dijual, sekiranya tidak mencukupi juga, barulah kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas rakyat”.

"Inilah nasihat dan teguran yang sepatutnya dinyatakan oleh ahli agama dan Majlis Fatwa Kebangsaan agar kerajaan menghentikan pembaziran, salah urus dana negara, rasuah yang menjadi punca langsung negara kekeringan; dan bukannya untuk meminta rakyat berkorban untuk pemerintah berterusan melakukan keborosan dan kehidupan mewah melampau," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 2/4/2015

Share on Myspace