MB, Exco Perak disaran isytihar harta

| .

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) disaran membuat pengisytiharan harta.

Abu Bakar Hussien (PAS-Titi Serong) berkata, pengisytiharan harta itu penting bertujuan memastikan setiap harta yang dimiliki boleh diaudit bagi mengelakkan mereka mempunyai harta dari sumber yang tidak sepatutnya.

"Kita perlu mengambil langkah dan konsep yang telah diketengahkan oleh Saidina Umar Abdul Aziz itu.

"Ini adalah antara reformasi yang perlu dilakukan bagi memakmurkan negara di samping berusaha untuk mengatasi kemiskinan," katanya.

Ketua Whip Adun PAS Perak itu berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Negeri Perak, dekat Ipoh hari ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar semua pemimpin negeri mengamalkan budaya kehidupan berjimat-cermat.

"Kalau nak beli baju, belilah yang murah, kalau nak pakai cincin, pakailah yang murah. Wujudkan budaya jimat cermat dalam kedidupan," katanya lagi.

Abu Bakar menggesa agar semua pemimpin menjauhi sikap boros dalam menguruskan negara kerana ketika ini berlaku pembaziran dalam pemerintahan sama ada negeri mahu pun persekutuan.

Tegas beliau, para pemimpin khususnya dalam konteks negeri itu sendiri perlu melihat bahawa pengurusan pentadbiran adalah satu amanah Allah.

Oleh yang demikian ujarnya, kerajaan perlu mengamalkan amalan jimat cermat serta menjauhi pemborosan dalam pemerintahannya.

"Kerajaan negeri perlu mengambil kira fiqh aulawiyat (keutamaan) dalam pengurusan dan tindakan. Dahulukan perkara yang perlu didahalukan dan kemudiankan mana yang perlu dikemudiankan.

"Slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' merupakan satu slogan yang cukup baik, cuma perlu kepada perlaksaan yang bijaksana," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace