GST: Rakyat akan hukum BN PRU14

| .


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan rakyat akan menghukum Kerajaan Umno BN berikutan kedegilan kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, PAS menyeru rakyat untuk melihat sendiri kerakusan pemerintahan BN dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk menampung kesilapan dan kegagalan mereka.

"Moga dengan bahana daripada GST ini akan menjadi ingatan dan obor pembakar semangat untuk rakyat membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Pada 1 April semalam telah bermula pelaksanaan GST di seluruh Malaysia, tatkala para menyeri sibuk mempertahankan bahawa GST ini bagus tetapi hakikatnya keluhan dan keperitan yang sebenar dirasai sekalian rakyat," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut kecewa apabila ada kesungguhan Ahli Parlimen BN mengatakan GST bermanfaat sehingga ada yang meminta rakyat tinggal di bulan jika tidak mahu membayar cukai.

"Walaupun Pakatan Rakyat sudah menentang sekerasnya pelaksanaan GST ini pada mula ia diumumkan oleh Perdana Menteri di Parlimen dulu, tetapi Kerajaan BN tetap degil ingin melaksanakannya.

"Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana negara sedang mengalami krisis kewangan yang parah, kerajaan perlu mencari jalan singkat untuk menampung pendapatan wang negara yang kian merosot.

"Apa yang mendukacitakan kita ialah rakyat yang menjadi mangsa akibat kegagalan Kerajaan BN mentadbir dengan berhemah," katanya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, wang rakyat dibelanjakan dengan sesuka hati dengan segala pembaziran, penyelewengan, ketirisan dan juga kebocoran.

Tambah beliau, tatkala rakyat diminta berjimat, kerajaan sibuk membeli Jet Eksekutif yang baru untuk Perdana Menteri dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula terus diselamatkan dengan pelbagai suntikan dana walaupun hutangnya sudah melebihi RM42 billion.

"Di mana slogan “Rakyat Didahulukan” yang sering dicanang itu.? Kelihatannya ‘rakyat didahulukan’ untuk menjadi mangsa keadaan dengan diperas wang hasil titik peluh mereka untuk cukai GST.

"Kerajaan meminta rakyat berhemah dan berubah sikap dalam berbelanja tetapi ia tak ubah seperti “ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.

"Kerajaan sendiri gagal memberi contoh tauladan dalam membelanjakan wang rakyat yang diamanahkan kepada mereka untuk dijaga," tambah beliau lagi.

Beliau berpendapat pelaksanaan GST ini memberi impak begitu besar kepada segenap lapisan masyarakat, daripada yang tinggal di kota raya besar sehinggalah yang berada di ceruk kampung. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace