GST dan EKJS: Berhati-hatilah kelicikan Umno!

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

TAHNIAH kita ucapkan kepada kerajaan Barisan Nasional yang diterajui parti kebangsaan Melayu Umno yang telah berjaya menyempurnakan misinya dalam perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan yang ringkasnya dikenali sebagai GST. Meskipun dalam suasana kerajaan ini ditolak oleh 53 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum PRU 13 lalu, GST telah melabuhkan layarnya di bumi Malaysia tanpa ada sebarang kekacauan.

Dengan hanya majoriti mudah tanpa penguasaan dua pertiga Dewan Rakyat, kerajaan terajuan Umno tetap yakin dengan percaturan yang dibuatnya. Apakah kerajaan ini yang ingin kita taruhkan keyakinan bagi menerajui Malaysia pada masa-masa mendatang?

Daripada nas-nas yang jelas sebagaimana diterangkan oleh para alim ulama, sistem percukaian yang diamalkan hari ini bukanlah suatu sistem yang dibenarkan menurut syarak. Apatah lagi sistem percukaian GST yang pada masa kini ditolak hebat oleh jelata rakyat.

Apa yang jelas, GST adalah satu langkah menzahirkan sikap ketidakadilan dan kezaliman pemerintah terhadap rakyat. Percukaian GST seumpama perniagaan yang amat menguntungkan oleh pemerintah terhadap rakyat sebagaimana disebut oleh Ibnu Khaldun dalam kitab Muqadimahnya.

Namun, bukan itu yang ingin saya lontarkan dalam penulisan ini. Apa yang ingin saya tegaskan di sini, kerajaan yang ada hari ini telah dilihat terus mengepikan nilai-nilai keadilan sebenar dan kesejahteraan yang sebenar dalam sistem pemerintahannya.

Persoalan utama yang ingin saya lontarkan di sini, apakah kita bersedia untuk terus bertahan untuk menjalinkan sebarang kerjasama politik atau bernaung di bawah pemerintahan yang ada? Saya ingin memfokuskan perhatian kita kepada beberapa jawatankuasa bersama yang dihulurkan kepada kita khususnya kepada kerajaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan.

Pada tahap ini, wajar kita muhasabah diri di manakah rasional atau kewajaran ketiga-tiga jawatankausa bersama tersebut? Apakah ia terbina atas satu semangat kerjasama yang tulus atau pancingan semata-mata?

Hebatnya Islam bila segalanya telah Allah firmankan dalam kitab suci-Nya, al-Quranul Karim sebagaimana maksud surah Al-Anfal:

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfaal 61-63)
 
Maksud ayat di atas cukup terang dan nyata. Kita dikehendaki untuk sedia berlapang dada bila ada usaha perdamaian dihulurkan oleh pihak musuh. Dengan lain perkataan, tidak selamanya kita perlu berada dalam situasi menentang bila mana peluang keamanan itu terbentang di hadapan mata.

Pergantungan kepada Allah wajiblah beriringan dengan setiap usaha yang dijalankan. Waspada dalam setiap tindakan perlulah ada agar kesan kemusnahan atau kecederaan dapat diminimumkan. Ingatan Tuan Guru Presiden, sama ada atau tidak kerajaan Umno ikhlas dalam usaha kerjasama yang dihulurkan, bukanlah urusan kita.

Dalam pada itu, sirah para sahabat telah juga memberi kita satu pengajaran yang cukup hebat sebagaimana ditunjukkan dalam peristiwa perang Sifin antara Saidina Ali Abi Talib Karamallahu wajha dan Saidina Mua’wiyah Abu Sufian RA. Perdamaian yang dihulurkan oleh tentera Mua’wiah atas percaturan Amru al-A’s kepada tentera Saidina Ali telah disedari sejak awal oleh baginda Saidina Ali.

Pengajaran dari perang Sifin seharusnya memberi satu periksa dan imbang antara kedamaian sebenar ataupun kedamaian atas muslihat politik. Kemungkinan kepada kedua-dua situasi akan sentiasa ada pada setiap masa dan setiap zaman.

Apakah kerjasama yang dilaungkan oleh kerajaan BN melalui ketiga-tiga jawatankausa iaitu royalti, hudud dan banjir itu suatu ketulusan atau umpanan politik semata-mata? Tentunya bagi pihak pimpinan telah mengambilkira setiap inci ruang risiko dan peluang dalam setiap situasi.

Pun begitu, bagi pihak rakyat khususnya para penggiat masyarakat yang inginkan PAS terus menang dan menguasai dalam percaturan politik tanah air, muhasabah semula terhadap kerjasama melalui ketiga-tiga jawatankausa tersebut wajar dilakukan.

Dalam isu royalti, dolak dalih kerajaan pusat terhadap kerajaan Kelantan berlarutan sejak 2011 lagi sebaik isu royalti berada di medan perjuangan rakyat. Sehingga ke hari ini, Kelantan terus dinafikan pembayaran tunai sebagaimana perjanjian 1975.

Begitu juga dalam isu banjir yang turut melahirkan satu jawatankuasa bersama antara kerajaan pusat dan negeri. Bagi rakyat yang saban waktu menantikan kediaman yang sempurna, bukan lagi janji demi janji yang mereka harapkan. Kesejukan malam hari dan kehangatan siang hari di bawah khemah sementera terus menimbulkan persoalan entahkan bila akan berakhir. Apa yang nyata kerajaan terajuan Umno hanya mampu mengemukakan alasan demi alasan kepada desakan janji-janji yang telah dimetri.

Mutakhir dapat kita lihat bagaimana isu hudud yang turut melahirkan satu jawatankuasa teknikal bersama. Dolak dalih kerajaan Umno umpama bangkai yang tidak dapat lagi disembunyikan. Jawapan Menteri yang berkaitan bila ditanya oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Pokok Sena menyerlahkan sikap mereka yang sebenar.

Apabila kita singkap sedikit masa kebelakang, kesungguhan kerajaan Umno membawa agenda Islam ke dalam sistem perundangan negara telah boleh dipertikai. Ia terserlah bila mana berlakunya penarikan balik Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi Dewan Rakyat tahun 2013 lalu.

Saya penuh yakin setiap dari pendukung dan penyokong PAS sedia berdiri teguh bersama ketegasan kepimpinan yang ada untuk mengkaji semula setiap kerjasama yang dijanjikan oleh kerajaan terajuan Umno. Atas sikap bersama mendokong kepimpinan yang ada, setiap dari pendokong dan penyokong PAS tentunya mengharapkan suatu sikap tegas dinyatakan dalam mendepani setiap kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku.

Apatah lagi bila mengenangkan firman Allah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Hud 1113)

Cukup ironi sekali, amalan diskriminasi kerajaan pusat terhadap Kelantan bukanlah suatu yang baru. Bagi majoriti rakyat yang telah memilih PAS di Kelantan, mereka tetap sedia dan setia mendokong kepimpinan yang ada meskipun berhadapan dengan tindakan tidak bertamadun dari Umno.

Justeru, sedaya yang mungkin setiap ketidakadilan dan kezaliman wajar ditentang dan terus-terusanlah kuatkan pergantungan kepada Ilahi. – HARAKAHDAILY 3/4/2015

Share on Myspace