EKJS: MB Kelantan harap MP Islam sokong

| .

PASIR PUTEH: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakbb berkata, kerajaan negeri berhasrat akan menjadikan kandungan kitab suci Al-Quran sebagai sumber rujukan ke arah pembangunan negeri.
 
Beliau berkata, makro syariah yang terdapat dalam kitab suci itu perlu dihayati untuk mewujudkan keamanan, kemakmuran dan keadilan yang sama rata khususnya untuk membantu golongan miskin.

Katanya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II bertujuan untuk mencegah keburukan dan menjauhi perilaku buruk umat Islam yang boleh memporakperandakan masyarakat.

Beliau berharap, kesemua anggota Parlimen yang beragama Islam perlu menyokong rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh wakil PAS di parlimen berhubung enakmen itu.

"Hari ini umat Islam seakan tercari-cari sumber kekuatan al-Quran dan aspirasi untuk mencapai misi dan visi dalam kehidupan sama ada di peringkat individu, organisasi mahu pun negara.

"Apa yang perlu dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah kembali kepada ajaran al-Quran, justeru semua pihak perlu menghayati al-Quran sebagai panduan dan tatacara untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang sejati.

"Hakikatnya ramai yang terlupa bahawa kekuatan utama kepada sekelian umat adalah sudah terhidang di hadapan mata mereka sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di sini, malam tadi.
 
Beliau berkata, pihaknya sangat mengharapkan agar pusat-pusat pengajian ilmu al-Quran dapat melakukan dengan cara lebih aktif walau di mana sahaja termasuk di masjid-masjid dan surau menggunakan pelbagai jenis kitab yang disusun dengan begitu rapi.

Sementara itu, Wan Aimudin Wan Abdullah dan Munirah Kasim dari Jajahan Tanah Merah masing-masing dinobat sebagai johan qari dan qariah tilawah negeri Kelantan kali ke-58 itu.

Naib johan qari pula disandang Wan Hilmi Wan Abdullah dari Pasir Puteh manakala naib johan qariah disandang Radziah Ibrahim dari Bachok dan Muhammad Nor Yusof dari Kota Bharu serta Jarodah Dollah dari Kuala Krai tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Tengku Temenggong Kelantan. - HARAKAHDAILY 3/4/2015

Share on Myspace