Zunar mengaku tidak bersalah menghasut

| .

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan menghasut dalam akaun Twitter miliknya.

Tweet tersebut berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 10 Feb lalu.

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Dia berpakaian warna ungu dan berseluar jeans kelihatan bersahaja di dalam kandang tertuduh. Mahkamah dipenuhi penyokong dan orang awam selain pihak media.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga sembilan, Zunar didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial [email protected] di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, pada 3 petang, 10 Feb lalu.

Bagi kesalahan itu, Zunar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama Zunar boleh didenda RM5,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya dan seterusnya boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama atas alasan pertuduhan dan saksi yang sama. Beliau turut menawarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Latheefa Koya memohon perbicaraan dilakukan secara berasingan atas alasan konteks pemahaman perkataan hasutan tidak boleh dilihat secara keseluruhan kerana boleh memprejudiskan anak guamnya itu.

Latheefa turut dibantu peguam Datuk S. Ambiga memohon anak guamnya itu diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan kerana Zunar memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan selain hanya menjamin kehadiran pada setiap tarikh sebutan.

Hakim Zanol, bagaimanapun membenarkan permohonan pendakwaan itu kemudian menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan. - BERNAMA

Share on Myspace