Rakyat tanggung beban, terus bantah GST

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah berkuatkuasa 1 April lalu membebankan rakyat ekoran Umno BN yang telah diberi mandat gagal menguruskan kekayaan negara.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hasil mahsul negara tidak diuruskan secara telus dan beramanah.

“Alasan Umno BN yang mahu mengenakan GST adalah demi kebaikan rakyat. Ini tidak selari dengan derita dan kesusahan rakyat yang sedia ada akibat ekonomi suram dan pelbagai kesusahan yang menimpa mereka.

“Sepatutnya kerajaan bijak mencari pendapatan untuk dibelanjakan kepada rakyat, bukan rakyat yang terpaksa berkorban untuk kerajaan,” jelasnya dipetik BuletinOnline.

Menurutnya, masalah yang dihadapi sekarang adalah bukan kerajaan tidak mempunyai kekayaan yang mencukupi tetapi kekayaan yang sedia ada tidak diurus dengan baik.

Buktinya, tambah beliau, saban tahun Jabatan Ketua Audit Negara melaporkan berlakunya ketirisan serta pembaziran yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Antaranya, kata beliau pembelian barangan yang harganya ‘tidak masuk akal’.

"Sebagai contohnya di Terengganu ini bukti jelas di depan mata kita pembaziran dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh Umno BN ini.

“Stadium ‘runtuh’ yang dibina dengan duit rakyat berharga lebih RM300 juta hanya mampu digunakan sekali sahaja, kemudian runtuh," ujarnya.

Begitu juga, kata beliau nasib kolam renang yang baru siap, tetapi banyak kerosakan berlaku.

"Itu semua adalah duit rakyat yang membayar cukai dan hasil kekayaan negara yang di salah guna,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru agar terus menyatakan bantahan terhadap GST yang tidak memberi banyak faedah, malah menambahkan beban rakyat yang sedia ada.

Share on Myspace