Tun M kritik Najib, apa kata Mukhriz?

BASHIR ISHAK | .

ALOR SETAR: Ekoran kritikan terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak PAS Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir menyatakan pendirian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan diadakan pada 6 April nanti.

Kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar, seluruh rakyat Malaysia sedang menyaksikan kesungguhan Mahathir mengkritik Najib secara lebih tegas, agresif dan berani apabila menyentuh pelbagai isu yang menyelubungi senario politik negara seperti isu pembunuhan Altantuya, pembelian kapal selam, skandal 1MDB, pembaziran wang negara, pembelian jet peribadi, kekayaan luar biasa keluarga Najib dan kegagalan dasar pentadbirannya.

"Sebelum ini Tun juga pernah menempelak usaha Najib melaksanakan GST yang sekarang sedang menekan rakyat.

"Segala kritikan yang dibuat oleh Tun bukanlah perkara kecil, ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Ia dizahirkan oleh seorang negarawan yang pernah memimpin kerajaan Malaysia selama 22 tahun. Justeru, semua kritikan Tun mesti diberi perhatian, khususnya oleh para pemimpin kerajaan," katanya.

Untuk itu tegas beliau, PAS Kedah merasakan pemimpin kerajaan negeri mesti prihatin dengan pergolakan yang berlaku dalam negara dengan menyatakan sikap sama ada terhadap kritikan Tun atau salah laku Najib.

"Dengan itu, PAS Kedah mendesak Mukhriz menyatakan pendirian rasmi beliau selaku ketua kerajaan negeri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan diadakan pada 6 April nanti.

"Sikap atau pendirian rasmi beliau berhubung kritikan Tun terhadap Najib itu sangat penting bagi rakyat negeri ini memahami isu sebenar yang berlaku.

"Jika Mukhriz mengambil sikap berdiam diri dalam isu terbabit bermakna beliau tidak menyanggahi segala kritikan Tun terhadap Najib yang juga merupakan ketuanya," ujar Mahfuz lagi. – HARAKAHDAILY 4/4/2015

Share on Myspace