Caj VEP dijangka bermula 1 Ogos

BERNAMA | .

JOHOR BAHARU: Pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) sebanyak RM20 bagi setiap kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Singapura, dijangka bermula 1 Ogos ini.
    
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kerajaan kini dalam proses perolehan dan pemasangan alat di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
    
"Ini kali pertama Malaysia akan melaksanakan sistem caj ini dan sudah pasti ia akan mengambil masa dari aspek perolehan dan pemasangan alat.
    
"Kadar caj pula akan kekal pada RM20 seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini kerana jumlah itu dianggap relevan," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta 'Funride and Criterium Road Race' yang diadakan sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Dataran Bandaraya, di sini hari ini.
    
Abdul Aziz berkata caj VEP akan turut dikenakan ke atas kenderaan asing dari pintu masuk lain seperti Thailand sebagai usaha penyelarasan.
    
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata pihaknya akan berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan lebih mendalam mengenai penangguhan kenaikan tambang bas ekspres.
    
Beliau berkata ia bagi memastikan kenaikan berkenaan relevan dengan keadaan semasa dan pada masa sama tidak membebankan pengguna.
    
"Kementerian akan membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam dengan 'stakeholder' lain agar kenaikannya tidak membebankan rakyat," katanya.
    
Sementara itu, Jelajah Kemahkotaan Johor 2015 yang diadakan sejak 31 Mac lalu sempena Kemahkotaan Sultan Johor memasuki acara terakhir dengan penganjuran Funride & Criterium Road Race yang diadakan dalam tiga kategori dan disertai lebih 50 peserta. - BERNAMA

Share on Myspace