PAS akan bantu PKR pada PRK Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS akan membantu PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang bakal diadakan nanti.

Demikian ditegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily petang ini.

Menurutnya, sebagaimana kelaziman pada mana-mana PRK yang ditandingi Pakatan Rakyat (PR) melalui parti komponennya, turut dibantu sepenuhnya oleh parti-parti komponen yang lain.

"PAS sebagai komponen PR akan membantu PKR pada PRK Parlimen Permatang Pauh nanti yang calonnya akan ditentukan oleh PKR," ujarnya.

Katanya lagi, sebagaimana PRK Dun Chempaka, Kelantan yang ditandingi PAS baru-baru ini, parti itu menghargai kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK itu.

Malah, jelasnya dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 13 Mac lalu telah memutuskan melantik Timbalan Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh pada 8 April ini.

PRK itu diadakan berikutan penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau. - HARAKAHDAILY 4/4/2015

Share on Myspace