Minggu suka dan duka buat Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengalami dua keadaan yang berbeza pada minggu ini, tulis Shahbudin Husin dalam blognya, semalam.

Beliau tentunya sedang dalam suasana gembira kerana baru menerima menantu berikutan anak perempuannya, Nooryana Najwa telah mengakhiri zaman gadisnya.

Dua kenduri  kahwin Nooryana dengan Daniyar telah diadakan di Kuala Lumpur iaitu 28 Mac di KLCC dan 29 Mac pula di PWTC manakala semalam, majlis kenduri kahwin anaknya diadakan di Pekan, Pahang.

Tetapi, menurut Shahbudin menjelang petang semalam, berita sedih mula menyelubungi Perdana Menteri apabila sebuah helikopter terhempas di Kampung Pasir Baru, Semenyih, Selangor.

Semua enam penumpangnya didapati meninggal dunia di mana dua daripadanya diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Najib.

Mereka ialah Ahli Parlimen Rompin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias.

Jamaluddin yang lebih popular dengan JJ adalah orang kanan Najib, terutama berkaitan gerak kerja politik dan hal-hal yang bertujuan meningkatkan hubungan serta penerimaan masyarakat terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

"Kematian beliau yang tragis bersama Azlin, tentu saja merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh Najib sekarang ini.

"Tentunya tidak mudah beliau menerima kehilangan dua orang pentingnya itu secara serentak," tulis Shahbudin lagi.

Beberapa hari yang lalu, katanya seorang pegawai khas Najib, Datuk Mohd Po'ad Jelani juga meninggal dunia di Singapura akibat kanser.

Ini, ujarnya bermakna dalam tempoh beberapa hari ini saja, Najib kehilangan tiga orang pentingnya kerana meninggal dunia.

"Takziah kepada Najib dan juga kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

"Marilah juga kita sekurang-kurangnya menyedekahkan Al Fatihah kepada roh mereka," ujarnya. - HARAKAHDAILY 5/4/2015

Share on Myspace