Perjanjian Air: Selangor serah jawapan rasmi Isnin ini

| .

KLANG: Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan jawapan rasmi kepada Putrajaya berhubung tempoh lanjutan tarikh akhir perjanjian induk penstrukturan semula industri air pada Isnin ini.

Lanjutan itu, satu pertemuan bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi mencari penyelesaian kepada isu berbangkit dijangka diadakan minggu hadapan.

“Saya percaya apabila kedua-dua pihak bersetuju menerima pakai terma perjanjian utama yang ditandatangani pada 12 September 2014, perkara ini boleh diselesaikan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Pemborong GM Klang, semalam.

Sebelum itu, beliau dijemput merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2015 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Di majlis tersebut, Mohamed Azmin berkata perbincangan terpaksa ditangguhkan berikutan fokus kini tertumpu kepada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang sedang berlangsung.

“Ya, walaupun saya belum jawab secara rasmi (surat menteri) tetapi perbincangan telah pun bermula di peringkat pegawai lebih kurang dua minggu lepas di mana Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri mengetuai delegasi Kerajaan Negeri bertemu dengan ketua setiausaha," katanya dipetik Selangorkini.

Terdahulu, Kerajaan Selangor diberi masa hingga 30 April ini untuk memberi jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

Sekiranya gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk. - HARAKAHDAILY 5/4/2015

Share on Myspace