Rakyat juga nak tahu punca helikopter terhempas

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Siasatan secara rapi perlu dilakukan bagi mengetahui punca sebenar helikopter yang membawa pemimpin politik terhempas di Semenyih, Selangor petang semalam.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata siasatan rapi perlu diadakan memandangkan difahamkan ketika kejadian keadaan cuaca yang begitu baik.

Katanya siasatan tersebut perlu bagi mengelakkan kejadian serupa terutama melibatkan pemimpin politik yang banyak berjasa kepada negara berulang.

“Perkara sebegini perlu diberi perhatian serius. Kita menyokong saranan Perdana Menteri supaya diadakan siasatan seberapa segera yang mungkin.

“Rakyat juga nak tahu punca berlaku kemalangan malang tersebut,” katanya selepas melancarkan projek rumah kekal tajaan Tesco di Kampung Belian Tumpat, di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter tersebut.

Helikopter tersebut membawa lima penumpang termasuk Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

Helikopter tersebut dilaporkan terhempas di Kampung Pasir Baru, Semenyih pada 4.55 petang selepas pulang daripada menghadiri kenduri perkahwinan anak Perdana Menteri di Pekan. - HARAKAHDAILY 5/4/2015

Share on Myspace