Tanah: Pampasan tidak setimpal harga semasa

BASHIR ISHAK | .

SUNGAI PETANI: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Kedah memandang berat isu pengambilan tanah di kawasan Sungai Limau dengan pampasan yang tidak setimpal dengan nilai tanah terbabit.

Pada 4 Disember 2014, kerajaan telah mewartakan pengambilan tanah bagi pembinaan jalan sambungan dari Lebuh Raya Utara-Selatan ke Pulau Bunting melibatkan 231 lot tanah bergeran dan 33 kediaman penduduk.

Menurut Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, ekoran tindakan tersebut, pihak yang tanahnya diambil telah menyatakan bantahan berdasarkan harga yang ditawarkan tidak setimpal dengan harga semasa serta jangkaan masa depan.

"Sekalipun tanah berstatus pertanian, tetapi pembangunan yang dicadangkan selepas itu ialah taman-taman perumahan, bangunan pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, kilang padi, gerai-gerai, rumah-rumah kampung dan lot-lot tanah kosong.

"Harga yang ditawarkan hanyalah di sekitar RM3.80 hingga RM4.80 sekaki persegi. Sungguh murah," terangnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan seusai mesyuarat Pakatan Rakyat Kedah di Pejabat Adun Bukit Selambau, di sini tengah hari tadi.

Sebagai perbandingan jelasnya, penilaian oleh jurunilai bertauliah (sekurang-kurangnya oleh lima buah syarikat) meletak harga RM15 sekaki persegi di kawasan terbabit.

Ini, katanya berdasarkan pengambilan tanah untuk dibuat jalan dari Yan ke Guar Chempedak pada 2012 bernilai RM21.48 sekaki persegi.

"Nilai terendah pernah dibuat di kawasan sekitar ialah pada harga RM8.45 sekaki persegi, iaitu Jalan Sedaka - Batu 17 pada 2010. Sepatutnya pada tahun 2015 ini tentulah nilai tanah kawasan tersebut semakin tinggi, bukannya jauh lebih murah," ujarnya.

Persoalan yang dibangkitkan katanya, sehingga setakat ini kerajaan hanya sibuk dengan pengambilan tanah tetapi tidak mengumumkan sebarang pembangunan yang dirancang secara spesifik di Pulau Bunting tersebut atau persekitarannya.

"Apakah langkah menyembunyikannya bertujuan untuk tidak meletakkan penilaian yang tinggi terhadap harga tanah yang terbabit dengan pengambilan?" soal beliau.

Dalam rundingan dengan kerajaan, ujarnya penduduk juga gagal mendapat pampasan setimpal bagi penat lelah mereka mengusahakan tanah tersebut serta aset yang terdapat di situ. - HARAKAHDAILY 5/4/2015

Share on Myspace