PRK Permatang Pauh: Umno terdesak pujuk PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS akan turun ke Permatang Pauh bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat (PR) melawan Umno BN.

Demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menerusi laman sosial facebooknya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan sebuah akhbar bertajuk 'Harap Pas bantu Umno di Permatang Pauh' yang memetik kenyataan Ketua Umno Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

"Sila lihat betapa terdesaknya Umno memujuk PAS. Pemuda PAS tidak akan termakan dengan pujuk rayu Umno.

"Pemuda PAS akan turun Permatang Pauh bagi memberi sokongan kepada calon PR lawan Umno," tulis Suhaizan.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa parti itu akan membantu PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang bakal diadakan nanti.

Menurutnya, sebagaimana kelaziman pada mana-mana PRK yang ditandingi Pakatan Rakyat (PR) melalui parti komponennya, turut dibantu sepenuhnya oleh parti-parti komponen yang lain.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh pada 8 April ini.

PRK itu diadakan berikutan penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau. - HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace