Angkara GST pengguna sukar 'top up' prabayar

| .

KOTA BHARU: Sikap tidak konsisten kerajaan terhadap caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi kad tambah nilai prabayar (top up) mengundang situasi sukar kepada orang ramai.

Sebahagian besar masyarakat terutamanya di kampung menggunakan kaedah top up bagi membolehkan mereka berkomunikasi melalui telefon.

Namun sejak 1 April lalu mereka semakin sukar untuk menambah nilai kredit telefon memandangkan banyak kedai tidak menjual perkhidmatan itu.

Seorang peniaga kedai telekomunikasi di sebuah pusat membeli belah di sini memberitahu, mereka tidak menjual top up sejak 2 April lalu kerana masih celaru dengan GST yang mulai berkuatkuasa awal bulan ini.

Katanya sikap kerajaan yang tidak konsisten menyebabkan peniaga kedai telekomunikasi berdepan dengan masalah.

“Kami membeli kad prabayar daripada pembekal dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jadi kenakan pula caj GST itu kepada pelanggan.

“Kami tidak boleh lagi menjual pada kadar harga lama kerana pembekal sudah mengenakan harga lebih tinggi selepas berkuatkuasa GST,” katanya di sini.

Kata beliau ramai pelanggan yang mahu membeli top up merungut dan marah apabila dikenakan caj GST.

“Misalnya bagi kad tambah nilai berharga RM5 sekarang pengguna perlu tambah 50 sen. Dan kalau kad tambah nilai prabayar berharga RM10 bermakna GST kena bayar RM1.

“Ini yang tidak boleh diterima pengguna, mereka marah. Jadi bagi jalan selamat ramai peniaga di pusat membeli belah di sini tidak lagi menjual top up sekarang,” ujarnya lagi.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan tidak menggunakan GST terhadap tambah nilai kad prabayar. Bagaimanapun kelmarin kerajaan memutuskan harga kad tambah nilai prabayar dikenakan GST pula.

Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy dilaporkan berkata keputusan tersebut hanya terpakai untuk tiga bulan pertama selepas pelaksanaan GST, sebelum dicari penyelesaian lebih baik. - HARAKAHDAILY 5/4/2015

Share on Myspace