#BatalGST: Himpunan raksasa 1 Mei

| .

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Hari Pekerja #BatalGST menyeru seluruh rakyat Malaysia, dari Johor hingga ke Perlis, dari Sabah ke Sarawak, untuk turun dan memenuhi bandaraya Kuala Lumpur pada 1 Mei ini dengan berpakaian merah sebagai warna dan simbol perjuangan rakyat.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengerusi Sekretariat Batal GST, Mohamad Sabu berkata, fokus dan tuntutan himpunan ini hanya satu iaitu menuntut agar pelaksanaan GST dibatalkan serta-merta.

Perkara ini diputuskan dalam satu mesyuarat pada 29 Mac lalu melibatkan pemimpin NGO-NGO, parti-parti politik, pertubuhan mahasiswa dan organisasi massa bagi membincangkan aksi bantahan terhadap pelaksanaan GST yang telah pun bermula pada 1 April 2015 yang lalu.

"Mesyuarat juga bersetuju bahawa himpunan raksasa ini dibuat pada Hari Pekerja, iaitu 1 Mei 2015 dan dinamakan sebagai Himpunan Hari Pekerja #BatalGST," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, bagi menyemarakan lagi himpunan ini pihak Sekretariat akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menggerakkan rakyat untuk turun ke himpunan kemuncak 1 Mei nanti.

Jelajah akan bermula 9 April ini di Alor Setar, 10 April (Bagan Serai Perak), 11 April ( Seremban, Negeri Sembilan), 12 April (Kemaman, Terengganu), 14 April (Batu Pahat, Johor), 20 April (Tumpat, Kelantan), 23 April (Temerloh, Pahang), 24 April (Seremban Negeri Sembilan), dan 30 April ( Wilayah Persekutuan).

Menurut Mohamad, kedegilan Kerajaan Persekutuan untuk terus melaksanakan GST tanpa mengambil kira kesusahan dan keperitan rakyat benar-benar membangkitkan perasaan tidak puas hati rakyat yang melihat ianya sebagai kemuncak sikap buta tuli pemerintah kepada suara rakyat.

"Hari demi hari semakin banyak hamburan amarah rakyat yang amat-amat geram dengan keangkuhan kerajaan dalam mempertahankan cukai zalim ini.

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan penjelasan-penjelasan dangkal serta analisis-analisis karut pemimpin-pemimpin negara bagi merasionalkan polisi songsang ini," tegas beliau.

Tambah menjengkelkan, katanya, apabila pelaksanaan cukai ini dibuat semasa negara dihambat dengan skandal kewangan 1MDB iaitu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.

Kenyataan ini turut disokong oleh Pakatan Rakyat dan 10 lagi NGO termasuk Suaram, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Gerakan Demokratik Belia & Pelajar Malaysia (DEMA), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Pemuda Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kelab Bangsar Utama dan Sekretariat #KitaLawan. - HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace