Petisyen 1 juta rakyat #BantahGST

| .


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menghidupkan semula kempen #BantahGST bagi mendapatkan satu juta petisyen rakyat secara online melalui laman web bantahGST.com

Tujuan petisyen rakyat ini dilancarkan adalah untuk menghantar mesej secara jelas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau harus membatalkan cukai GST.

"Kami mensasarkan 200,000 bantahan menjelang 1 Mei 2015. Kemudian berperingkat-peringkat mencapai 1 juta. Kalau suara rakyat kuat, rakyat berkuasa. Kami percaya Suara Rakyat, Suara Keramat.

"Tema Kempen ini adalah “Bantah Cukai Rakus, Golongan Susah Tertindas!” kata kenyataan bersama Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), Teo Kok Seong (DAP-Rasah), Hanipa Maidin (PAS- Sepang) dan G Manivannan (PKR-Kapar).

Kempen ini adalah kempen bersiri selama beberapa minggu dan empen Pertama adalah #BantahGST berkaitan tambah nilai prabayar telefon bimbit iaitu isu Telco Top Up Card yang penuh kontroversi.

Mengikut aduan yang diterima oleh Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Konsumer dan Koperasi (KPDNKK), 44% adalah berkenaan dengan Telco Top Up. Ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan berunding dengan syarikat-syarikat Telco.

"Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menjanjikan tiada GST untuk Top Up Card, tetapi sekarang terbuktinya GST dikenakan. Ini jelas janji tidak ditepati!

Perkhidmatan prabayar merangkumi 60% daripada jumlah panggilan, sistem pesanan ringkas (SMS) dan servis data syarikat Telco.

Dengan mengenakan cukai GST, dijangkakan syarikat-syarikat Telco akan mengaut keuntungan setinggi RM80-120 juta ringgit setahun.

"Isu Top Up card ini melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan anak muda, pelajar, golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pesara. Mereka menggunakan service top up kerana tidak mampu bayar postpaid plan.

"Buat masa sekarang, kenyataan kerajaan adalah sangat mengelirukan. Kerajaan hanya mengumumkan penyelesaian 3 bulan sahaja. Itu bukan penyelesaian," kata kenyataan itu lagi.

Justeru mereka akan memperjuangkan tiada cukai GST dikenakan kepada tambah nilai prabayar.

"Kami menyeru semua golongan yang tidak puas hati menanda-tangani petisyen rakyat untuk menyatakan suara hati kepada kerajaan. Kami juga akan turun padang membuat kempen mengenai isu ini.

"Kalau rakyat bersatu #bantahGST, rakyat akan Berjaya hapuskan GST," katanya. - HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace