Apa kata jika Mahathir buat laporan polis terhadap Najib?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sebagai bekas Perdana Menteri yang disanjung rakyat, tindakan dan keberanian Tun Mahathir Mohamad sendiri membuat laporan polis akan menunjukkan kesungguhan dan ketulenan apa yang dilakukannya sekarang.

Menurut penulis Shahbudin Husin, rakyat juga akan lebih meyakini, melalui kesanggupan Tun Mahathir membuat laporan polis itu, ia benar-benar bertunjangkan untuk menegakkan keadilan dan menyelamatkan negara.

"Sekaligus, beliau akan lebih disanjung rakyat," tulis Shahbudin dalam blognya, hari ini sebagaimana di bawah.

Serangan terbuka Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Najib Razak ketika ini sudah boleh dikira berada di tahap yang tidak boleh dipulihkan lagi. Beliau sudah dianggap "berkerat rotan, berpatah arang" dan "putus saudara" dengan Najib.

Bermula dengan serangan terhadap aspek kepimpinan, Tun Mahathir kini benar-benar menyerang sasaran yang melibatkan peribadi dan maruah Najib, terutama berkaitan pembunuhan Altantuya, 1MDB dan kekayaan keluarganya.

Mahathir juga  bukan lagi mahukan apa-apa jawapan dan penjelasan daripada Najib. Beliau sudah menunggu untuk sekian lama menanti jawapan daripada Najib tetapi tiada apa-apa yang diperolehinya. Perjumpaan senyap juga sudah tertutup, kata Tun Mahathir.

Ketika beliau menulis surat menegur dan mengumumkan penarikan balik sokongannya, bukan jawapan atau penjelasan yang dibalas Najib, sebaliknya beliau menghantar seseorang menemui Tun Mahathir agar menarik balik isi hati yang diluahkan melalui surat itu.

Ia jelas menunjukkan bahawa Najib tidak mahu memberi penjelasan dan tidak juga mahu berubah. Pendiriannya ialah Tun Mahathirlah yang harus berundur dan menarik balik suratnya.

Ini tentu saja mengecewakan Mahathir sedangkan apa yang dilakukannya hanyalah untuk menyelamatkan masa depan negara ini. Lalu, Tun Mahathir kini secara terbuka mengkritik, menarik balik sokongan dan terus menyerangnya.

Apa yang dimahukannya sekarang hanyalah satu - Najib mesti berundur dan segera meletakkan jawatan kerana dianggap terlalu banyak skandal berkaitan dirinya.

Dalam memberi tekanan kepada Najib agar berundur itu, Tun Mahathir seolah-olah berpegang kepada isu Sirul yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya dan skandal kewangan melibatkan 1MDB sebagai senjata utamanya.

Dari hari ke sehari, ternampak dan memberi keyakinan kepada umum bahawa Tun Mahathir seperti mempunyai sesuatu bukti yang cukup kukuh untuk terus menekan dan menyingkirkan Najib.

Kata-kata dan ungkapan yang dilafazkannya kebelakangan ini jelas cukup spesifik dan tepat mengenai tengah-tengah dahi Najib.  Beliau juga mula membongkar satu demi satu perkara yang tidak pernah diketahui ramai sebelum ini seperti Sirul yang rupa-rupanya pernah menjadi bodyguardnya sebelum ini.

Kata-kata Tun Mahathir yang berbunyi "ketika Sirul bekerja dengan saya, tidak pernah pula dia membunuh sesiapa" adalah jelas mempunyai makna yang mendalam dan boleh difahami oleh sesiapa pun bahawa ianya sedang ditujukan kepada Najib.

Walaupun Tun Mahathir dikhabarkan akan meneruskan lagi serangannya dan Najib pula, menurut Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC, akan memberikan jawapan dan penjelasannya dalam waktu terdekat, tetapi ada baiknya pada ketika ini jika bekas Perdana Menteri itu melangkah lebih ke depan dengan beliau sendiri membuat laporan polis dan menyerahkan bukti-bukti yang mungkin yang dimilikinya berkaitan pembunuhan Altantuya dan 1MDB untuk dilakukan siasatan segera.

Sebagai bekas Perdana Menteri yang disanjung rakyat, tindakan dan keberanian Tun Mahathir sendiri membuat laporan polis akan menunjukkan kesungguhan dan ketulenan apa yang dilakukannya sekarang.

Rakyat juga akan lebih meyakini, melalui kesanggupan Tun Mahathir membuat laporan polis itu, ia benar-benar bertunjangkan untuk menegakkan keadilan dan menyelamatkan negara. Sekaligus, beliau akan lebih disanjung rakyat.

Lagi pula, terutama berkaitan Sirul, Tun Mahathir ada berkata, selain Najib mengatakan ianya merepek, tetapi sebarang siasatan tidak pernah dijalankan.

Sebelum ini hanya pemimpin UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan ada membuat laporan polis mengenai 1MDB. Tetapi belum ada sesiapa tampil membuat laporan polis mengenai Altantuya.

Dengan Tun Mahathir sedia membuat laporan polis juga, pihak berkuasa tentunya tiada alasan lagi untuk berdolak-dalik tidak melakukan penyiasatan atau mengatakan ia tidak perlu dibuka semula kes tersebut. - HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace