PR Perak kecewa pelajar tahfiz diheret berhimpun

| .

 

IPOH: Pakatan Rakyat Perak kecewa apabila pelajar-pelajar sekolah tahfiz dan sekolah-sekolah pondok diheret untuk terbabit dalam perhimpunan haram di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi tadi.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kemungkinan pelajar-pelajar tahfiz itu disalah guna oleh pihak-pihak tertentu walaupun mereka tidak tahu akan perkara yang sebenar.

Menurutnya, didapati pelajar-pelajar tersebut memegang kain rentang dengan pelbagai perkataan termasuklah 'DAP Parti Komunis', 'Perak Bukan Negeri Komunis' dan sebagainya.

"Mungkin pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah salah guna budak-budak tahfiz ini dan banner yang dipegang oleh mereka adalah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

"Kenapa sanggup pergunakan mereka dalam himpunan itu, lebih-lebih lagi di waktu persekolahan hari ini," katanya ketika ditemui Harakahdaily di perkarangan Dewan Negeri Perak.

Kata beliau, jelas terbukti Pakatan Rakyat Perak telah diburukkan oleh pihak-pihak tertentu di mata masyarakat termasuklah pelajar-pelajar tahfiz dan pondok.

Adun Changkat Jering itu turut mempersoal sama ada pihak polis memberikan kebenaran kepada pihak penganjur untuk mengadakan himpunan tersebut atau tidak.

Nizar hairan apabila tidak berlaku sebarang tangkapan atau tahanan daripada himpunan tersebut dan adakah kemungkinan ia direstui oleh pihak polis.

Beliau memberitahu, himpunan tersebut telah menyukarkan Adun-Adun terutama dari kalangan Pakatan Rakyat untuk masuk ke bangunan itu.

"Kami telah memohon satu usul di dalam untuk agar speaker memberikan jaminan kepada semua Adun termasuklah dari BN agar kemasukan ke bangunan sidang Dun tidak dihalang serta diganggu gugat.

"Minggu lalu berlaku kepada Adun Menglembu, Lim Pek Har yang 'diganggu' oleh peserta himpunan dan hari ini seolah-olah berlaku lagi sedemikan," jelasnya.

Ujarnya, usul yang dikemukakan oleh Adun Kepayang, Nga Kor Ming itu telah ditolak apabila speaker memberikan alasan apa yang berlaku di luar dewan bukan lagi bidang tugasnya.

Namun begitu, tegas beliau, speaker sepatutnya mengarahkan Ketua Polis Perak untuk membuat tindakan yang selanjutnya termasuklah menjaga keselamatan Adun-Adun untuk masuk ke bangunan tersebut.

Ratusan masyarakat telah berhimpun di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan berikutan tindakan Adun Pakatan Rakyat memakai serba hitam ketika istiadat perasmian Persidangan Dun Perak 31 Mac lalu.

Antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak, Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (PAPIM), Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak, dan Pemuda Umno Perak.

Beberapa gimik diadakan termasuklah membakar gambar pimpinan Pakatan Rakyat antaranya Mohammad Nizar dan Nga Kor Ming.

Kelihatan beberapa buah bas membawa peserta demonstrasi tersebut termasuklah golongan wanita warga emas, dan semua peserta diberi baju kuning secara percuma. - HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace