Kanun Jenayah: Pemuda PAS ambil langkah proaktif

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia (PPM) telah mengambil langkah yang proaktif melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) dalam memberi penerangan mengenai Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015 Negeri Kelantan (KJSII).

Setiausaha PPM, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata pihaknya dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan akan menganjurkan seminar khas pada 11 April ini bagi mendedahkan keseluruhan kandungan terkini undang-undang tersebut.

"Sesi penerangan ini melibatkan semua peguam yang bernaung di bawah PAS, kita dari PPM di bawah Juham akan menjadi agen penerangan tentang pelaksanaan KJSII.

"KJSII telah diluluskan di Dewan Negeri (Dun) Kelantan pada 24 November 1993 titik tolak penting usaha PAS memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini," katanya.

Menurut beliau, selepas 20 tahun usaha untuk melaksanakan KJSII ini semakin menghampiri realiti apabila Dun Kelantan telah meluluskan pindaan terbaru pada 19 Mac lalu dengan lebih komprehensif melalui Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

"Seminar ini bertujuan mendedahkan peguam-peguam PAS dengan seluruh kandungan enakmen, pindaan terkini, huraian dan prosedur-prosedur yang telah dilakukan oleh PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan KJSII dapat direalisasikan selaras dengan peruntukan perlembagaan dan semangat demokrasi yang ada di Malaysia.

"Selain itu, seminar ini juga bakal memberikan kesempatan yang luas kepada para peguam PAS untuk memberikan pandangan serta buah fikiran khusus tentang langkah-langkah yang perlu dan penting bagi tujuan penerangan kepada orang awam terutamanya dalam soal menangkis tuduhan yang tidak tepat berkenaan dengan KJS2 dari sudut perundangan," tambah beliau lagi.

Beliua berharap seminar itu mampu menjadi medium untuk PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan di dalam menyusun langkah-langkah yang strategik bagi menangani polemik dan isu-isu yang timbul berkenaan dengan KJSII.

"Sebagai 'buah tangan' atau 'hadiah' daripada Pemuda PAS Malaysia, maka adalah dimaklumkan bahawa para peguam PAS yang hadir pada seminar itu nanti akan diangkat sebagai ejen penerangan kepada seluruh rakyat Malaysia atau badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana organisasi yang memerlukan pemahaman tentang KJSII," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace