GST dipaksa kepada ‘bangsa negara’

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Kejayaan kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu adalah hasil tindakan mereka menekan dan mencengkam kepatuhan rakyat selama BN memerintah lebih 58 tahun.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat negara ini telah dijadikan ‘bangsa negara’ oleh pemerintah BN yakni hanya mampu mengkritik dan merungut terhadap dasar kerajaan.

“Kerajaan buatlah apapun, mereka akan mampu marah untuk beberapa ketika, walaupun selepas itu mungkin kita tinggal tulang belulang. Rakyat kita sebenarnya tidak dibentuk menjadi rakyat ‘negara bangsa’ yang ada keberanian untuk menukar kerajaan, biarpun kerajaan itu mencekik nafas rakyatnya.

“Rakyat ‘bangsa negara’ ini dibelai menjadi bangsa penakut selama 58 tahun oleh BN sejak 1957, setelah direndam dalam 'kolam rendah diri', dikurung dalam 'reban pak turut' dan dipijak dengan 'kasut jangan melawan' selama 446 tahun oleh penjajah.

“Kini Kerajaan BN ‘menuai’ hasil asuhan ‘kepenakutan’ bangsa kita. Bermulalah hidup rakyat dengan menjalani kehidupan ber-GST seluruh Malaysia. Inilah natijah undi, kerana BN tahu sangat-sangat bahawa rakyat negara ini hanya tahu merungut, tidak tahu menukar kerajaan,” ujarnya setelah seminggu GST dilaksanakan di Kompleks PAS Kedah, di sini.

Menurutnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak kemerdekaan apabila dasar-dasar kerajaan dipersenda, dipermain, dimomok dan ‘dirayakan’ oleh seluruh rakyat sama ada di bandar atau di desa, dari yang tua hingga kanak-kanak, termasuk sama ada mereka bekerja sendiri, swasta mahupun kerajaan.

Jelasnya, rakyat menyambut ‘kelahiran’ GST dengan mencipta lagu, poster, pengumuman ala-ala pengisytiharan hari raya, bertukar-tukar ucapan takziah dan tahniah.

“Rakyat negara ini baik-baik semuanya. Mereka menerima dasar ini untuk dipakai sehingga ke anak cucu. Kalaulah rakyat negara ini seperti ‘negara bangsa’, sudah tentu hari ini BN sudah berkubur,” ujarnya sebagai reaksi terhadap perkembangan pelaksanaan GST. – HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace