SPR terima notis kekosongan kerusi Rompin

| .

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima notis pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi kawasan Parlimen Rompin daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Selasa.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sehubungan itu suruhanjaya berkenaan akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

"Antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat khas itu adalah penamaan calon, pengundian awal, pengundian biasa dan menentukan daftar pemilih yang akan diguna pada PRK Parlimen Rompin," katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz menjelaskan SPR perlu mengadakan mesyuarat khas jika berlaku kekosongan kerusi sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak awal daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari dari tarikh penerimaan notis pemberitahuan kekosongan sesuatu kerusi.

"Menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlaku kekosongan," katanya.

PRK Rompin perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, pembantu operasi Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. - Bernama

Share on Myspace