CAP: Kuat kuasa peraturan kebersihan makanan 2009

S.M. MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya menguatkuasakan dengan tegas Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Gesaan ini dibuat berikutan kes-kes keracunan makanan yang berlaku di negara ini.

Kejadian terbaharu berlaku pada 24 Mac lalu di mana Menteri Pelancongan, tiga ahli Exco negeri dan 30 pegawai pelancongan kanan dari negara-negara Asean mengalami keracunan makanan yang teruk selepas memakan makanan laut di sebuah perkampungan nelayan di Umbai, Melaka. Ujian makmal ke atas sampel makanan mendapati makanan yang dihidangkan itu dicemari bakteria E. Coli, bermakna terdapat pencemaran najis.

Keracunan makanan yang berpunca daripada bakteria, virus, parasit dan bahan kimia berbahaya didapati bertanggungjawab terhadap lebih 200 penyakit, dan telah dikaitkan dengan kematian kira-kira 2 juta orang setiap tahun, terutama kanak-kanak.

Di Amerika Syarikat sahaja terdapat 48 juta kes keracunan makanan berlaku setiap tahun yang mengakibatkan kira-kira 3,000 kematian setahun.

Malaysia tidak terkecuali daripada kes-kes kematian akibat pengambilan makanan yang tidak selamat. Salah satu kes paling serius dilaporkan pada Oktober 1988, di mana beberapa kes keracunan makanan berlaku di Perak. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak. Seramai 13 orang kanak-kanak yang berusia di antara 2.5 – 11 tahun meninggal dunia. Siasatan mendapati punca racunnya ialah Loh See Fun, mi yang berbentuk seperti ekor tikus. Kesemua kanak-kanak yang maut itu memakan mi berkenaan daripada seorang pembekal. Pemeriksaan ke atas organ mangsa dalam 10 kes menunjukkan kepekatan aflatoksin yang tinggi di dalam tisu mereka yang mati. Paras asid borik yang tinggi ditemui dalam tubuh kebanyakan mangsa. Pemeriksaan ke atas hati mangsa pula menunjukkan perubahan nekrotik yang ditemui dalam keracunan aflatoksin. Siasatan selanjutnya menunjukkan terdapat toksin atau beberapa toksin biasa yang bertanggungjawab terhadap kematian tersebut. Toksin tersebut disyaki adalah gabungan asid borik dan aflatoksin.

Pada 2013, tiga orang maut sementara 65 yang lain terpaksa dirawat di wad hospital kerana keracunan makanan selepas memakan makanan dalam satu majlis perkahwinan di Kedah.

Pada 2014, lebih 150 pelajar di sekolah berasrama di Kuala Nerang, Kedah jatuh sakit akibat penyakit bawaan makanan yang berpunca daripada bakteria salmonella.

Menurut Kementerian Kesihatan, sejumlah 5,265 kes keracunan makanan di negara ini berpunca daripada makanan yang disediakan di kantin sekolah atau asrama. Jumlah ini merupakan 43% daripada 12,122 kes keracunan makanan  yang dilaporkan di seluruh dunia pada 2014.

Kes-kes keracunan makanan membabitkan kantin sekolah dan kafetaria asrama di seluruh negara semakin meningkat. Ia meningkat daripada 3,822 (2010), 3,959 (2011), 4,305 (2012) dan 5,017 (2013). Keracunan makanan sering dikaitkan dengan penyelenggaraan makanan yang tidak bersih.

Jumlah kes-kes keracunan makanan yang dilaporkan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu (sekitar 8,000 setahun) mungkin hanya segelintir daripada masalah yang ada memandangkan banyak kes keracunan makanan mungkin tidak dilaporkan.

Perubahan dalam pengeluaran, pengedaran dan pengambilan makanan; perubahan kepada alam sekitar; kemunculan patogen baharu dan ketahanan antimikrob kesemuannya memberi cabaran kepada sistem keselamatan makanan.

Keselamatan makanan adalah isu utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.

Sebagai pengguna, kita cuma berharap untuk membeli dan makan tanpa berasa takut. Ia bukan sekadar bergantung kepada budi bicara pengeluar dan peniaga makanan, malah usaha kerajaan dalam mengukuhkan peraturan dan pengawasan mengenai produk makanan.

Jabatan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan dan keselamatan makanan khususnya perlu menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya. Mereka mesti menguatkuasakan undang-undang Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Memandangkan hari ini adalah Hari Kesihatan Sedunia dan kempen pada tahun ini adalah mengenai makanan tidak selamat, CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya menjalankan pemeriksaan di seluruh negara ke atas tempat-tempat makan, termasuk kantin sekolah, kantin di kilang, tempat makan, pengendali makanan dan gerai makan untuk memastikan makanan yang dihidang selamat untuk dimakan.

Penulis ialah Presiden CAP.

Share on Myspace