Strategi '6P' atasi banjir, selaras kerjasama agensi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tebatan Banjir Selangor yang ditubuhkan kerajaan negeri menggunapakai strategi '6P' sebagai usaha mengatasi keadaan banjir di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata strategi itu merujuk kepada penyelarasan sistem maklumat yang lengkap berkaitan banjir, penilaian dan perancangan terhadap projek tebatan banjir, pemantauan pembangunan, penguatkuasaan, penyelarasan persediaan banjir dan pengesyoran tindakan.

“Jawatankuasa ini akan memastikan kesemua strategi dapat disempurnakan dalam persediaan menghadapi banjir dengan kerjasama semua agensi yang terlibat.

“Agensi juga akan merumuskan serta mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan yang akan diambil seperti pelaksanaan program tebatan banjir mengikut keutamaan, penambah baik garisn panduan sedia ada dan juga kajian semula pembangunan terhadap kawasan banjir,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berhubung pelan tebatan banjir di Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Zaidy yang juga Adun Taman Templer berkata jawatankuasa yang ditubuhkan Mac lalu merangka dan merancang secara menyeluruh ke arah penyelesaian banjir secara bersepadu dan mapan melalui penyelarasan dan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.

Katanya antara pihak yang terlibat dalam jawatankuasa ini adalah Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Pengarah Jabatan Kerja Raya, Unit Bencana Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan memfokuskan kepada kejadian banjir yang berlaku sejak 10 tahun lepas apabila tahun ini sahaja sebanyak 27 insiden melibatkan 24 kawasan terlibat dengan masalah tersebut.

Share on Myspace