Lulus Pota seperti kembalikan ISA

| .

KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) seolah-olah mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, dengan pelaksanaan Pota semua pihak akan terdedah kepada pelaksanaannya terutama ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Sehingga sekarang istilah pengganas itu tidak dapat dihuraikan dengan jelas dan ini membuatkan semua pihak terdedah kepada akta tersebut.

"Kita melihat dengan kelulusan secara tergesa-gesa ini seolah-olah ingin menjadikan negara ini sebagai negara polis dan melihat kerajaan mempunyai perancangan terhadap pembangkang," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Parlimen hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berbahas menentang pelaksanaan ruu tersebut.

"Kita berhujah sejak semalam sehingga awal pagi tadi dalam menentang pelaksanaannya.

"Kita bukan menyokong keganasan tetapi membolehkan tahanan ditahan sehingga 21 hari ini tidak wajar kerana kita mencadangkan penahanan tidak melebihi 14 hari," kata beliau lagi.

Beliau turut menegaskan, jika kerajaan ingin meneruskan juga Pota, beberapa pindaan perlu dilakukan termasuk kelemahan di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

"Kita telah ada Sosma dan pelaksanaannya belum lagi sepenuhnya, pendakwaan yang akan ada hanya satu sahaja.

"Kerajaan tidak pernah tunjuk bukti apa kelemahan dalam Sosma, tunjukkan bukti baru ada bukti kenapa perlu diwujudkan akta yang baru.

"Jika ingin melaksanakan juga perlu ada perubahan sebagai contohnya tahanan reman hanya dilakukan oleh hakim dan bukan majistret, selain itu wujud mahkamah khas untuk kes-kes tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai keputusan kerajaan yang akan membentangkan Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 yang dilihat terlalu kejam kerana mereka yang ditahan tidak boleh dijamin.

"Yang ditahan belum dipastikan bersalah, mereka sepatutnya boleh dijamin, kenapa kerajaan mahu menafikan hak jaminan dengan melaksanakan akta ini.

"Bagi saya ia tidak adil untuk mereka yang ditahan dan belum ditentukan bersalah, apa-apa pun kelulusan ini hanya bermotifkan politik dan tertumpu kepada pimpinan Pakatan Rakyat," sambung beliau lagi.

Pota telah diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi tadi melalui undian belah bahagian yang memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju selepas ia dibahaskan lebih 12 jam.

Manakala Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 akan dibentangkan petang ini bagi bacaan kali pertama. - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace