PRK Rompin: Pusat tunggu laporan PAS Pahang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat terlebih dahulu mendapatkan laporan daripada PAS Pahang serta Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berhubung kekosongan kerusi Parlimen Rompin yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Ketika bercakap dengan Harakahdaily, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberi ruang kepada PAS Pahang untuk menyatakan pandangan mereka terhadap kekosongan kerusi Rompin.

"Kita dengar dulu laporan daripada negeri berkenaan, dapatkan dulu pandangan mereka kemudian kita akan lihat," katanya.

Beliau juga menjangkakan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada 13 April ini.

"Mesyuarat nanti akan menyentuh kedua-dua pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh," katanya ringkas.

Hari ini SPR mengesahkan telah menerima notis pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi kawasan Parlimen Rompin daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mendapat 30,040 undi untuk mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu sementara calon PAS, Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace