BR1M: Institut Rakyat saran sistem saluran elektronik

| .

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2014[1] semalam mendedahkan bahawa 6 ribu lebih penerima Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) didapati menuntut lebih daripada sekali menyebabkan Putrajaya mengeluarkan kos sebanyak RM3.3 juta sepanjang tempoh tahun 2012 ke 2014.

Jika kepincangan ini dapat dielakkan, kos ini sudah pasti dapat memanfaatkan lagi 6 ribu lebih penerima yang memerlukan. Institut Rakyat menyeru kerajaan mengambil serius isu keberkesanan kos (cost effectiveness) program dan menuju ke arah sistem penyaluran bantuan tunai secara elektronik.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, BR1M disalurkan melalui dua kaedah: 1) pembayaran dikredit ke dalam akaun bank penerima; 2) pemberian baucar kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank untuk ditunaikan di bank-bank terpilih atau kaunter bank bergerak. Bagi BR1M 2014, sebanyak 60% penyaluran BR1M adalah secara atas talian (online) terus ke akaun bank penerima. Bagi BR1M 2015 pula, masih wujud 11.3% penerima yang tidak mempunyai akaun bank.

Laporan tersebut turut mendedahkan penunaian BR1M lebih daripada sekali ini berlaku ketika pihak bank membuka kaunter bergerak di luar talian (off line), di mana bayaran dibuat kepada penerima BR1M dengan hanya menyemak senarai nama penerima yang berjaya tanpa membuat semakan lanjut melalui sistem online database. Tanpa perkongsian data di antara bank secara langsung (live), semakan penunaian secara langsung di antara bank tidak dapat dibuat maka memberi ruang kepada segelintir penerima BR1M melakukan tuntutan bayaran lebih daripada sekali.

Meskipun mereka yang terlibat dalam penunaian BR1M lebih daripada sekali hanya 0.4% daripada jumlah penerima bagi ketiga-tiga tahun tersebut, hakikatnya kos akibat penunaian lebih daripada sekali adalah sebanyak RM3.3 juta. Jumlah ini dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 6600 orang jika seorang menerima RM500, ataupun 5077 orang jika seorang menerima RM650.

Malah, jika diambil kira kos pentadbiran yang terbabit samada ditanggung oleh kerajaan mahupun pihak bank, baik secara langsung atau tidak langsung akibat daripada penunaian lebih daripada sekali serta pengeluaran surat peringatan untuk mengembalikan lebihan wang BR1M yang dituntut, kos yang ditanggung sudah pasti melebihi RM3.3 juta.

Walau bagaimanapun, penggunaan baucar bakal digantikan dengan surat kelulusan BR1M yang mempunyai ciri-ciri keselamatan anti copy bagi penerima yang tidak mempunyai bank akaun. Kaedah ini sememangnya satu langkah kedepan yang lebih baik daripada baucar, namun ia masih tidak dapat mengatasi masalah struktural yang asas.

Pertama, peratus isi rumah atau populasi memiliki akaun bank yang rendah. Laporan Pembangunan Manusia Malaysia (Malaysia Human Development Report 2013)[2] memperlihatkan kadar populasi berumur 15 tahun ke atas yang memiliki akaun bank adalah 66%. Berbanding dengan Singapura, Japan dan Hong Kong, peratus isi rumah atau populasi yang memiliki akaun bank adalah 98%, 96% dan 89%. Bagi kategori 40% isi rumah terrendah (bottom 40%) pula, setinggi 50% tidak mempunyai akaun bank, iaitu seorang daripada dua orang yang miskin tidak mempunyai akaun bank.

Kedua, jurang keberkesanan kos di antara lokaliti tetap wujud di antara bandar dengan luar bandar, Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Keberkesanan kos adalah rendah di luar bandar, Sabah dan Sarawak berbanding dengan bandar dan Semenanjung Malaysia kerana infrastruktur ekonomi dan sosial yang terhad[3], maka agensi kerajaan dan pihak bank perlu memperuntukkan lebih kos untuk menyediakan kemudahan kewangan dan sosial, mencapai (reach out) mereka yang susah dan menyalurkan bantuan tunai dengan telus.

Sebagai langkah asas, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme kerjasama dengan sektor bank untuk mempertingkatkan peratus populasi memiliki akaun bank khasnya golongan miskin. Sebagai contoh di India, peratus populasi memiliki akaun bank adalah 35% sahaja[4], kerajaan India memperkenalkan program Jan-Dhan Yojana[5] pada tahun 2014 bagi membolehkan seluruh rakyat India membuka akaun sifar simpanan (zero balance account) dengan mana-mana bank di India dan menikmati manfaat pelbagai program kebajikan kerajaan.

Bagi penyelarasan maklumat penerima, kerajaan boleh merujuk kepada open source web-based Management Information System (MIS) seperti yang dilaksanakan di Kenya untuk program Hunger Safety Net Programme yang membolehkan akses untuk semua agen pelaksana termasuk kerajaan Kenya dan Bank Ekuiti. Sistem ini menggabungkan pihak kerajaan, bank dan syarikat telekomunikasi bagi membolehkan penggunaan sistem penyaluran elektronik seperti kad pintar dan telefon bimbit dalam program bantuan tunai di Kenya[6]. 

Sesungguhnya, kelemahan Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepertimana yang dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara hari ini hanya akan dapat ditangani dengan memastikan rakyat Malaysia khasnya golongan miskin mempunyai akaun bank sebagai langkah asas menuju ke arah sistem penyaluran bantuan tunai secara elektronik. Langkah ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan keberkesanan kos program dan mengelakkan manipulasi, yang terpenting adalah menjamin bantuan terus sampai ke tangan golongan miskin. - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace