Umno cari Islam selepas masa depan gelap

ASLANI M | .

KETEREH: Umno dianggap mulai mengubah rentak dengan menyokong Kanun Jenayah Syariah (KJS) bagi mengelakkan parti terbabit terus malap.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata Umno terpaksa mengubah hala perjuangan setelah menyedari laluan di hadapan mereka gelap tanpa Islam.

“Parti itu sekarang terpaksa menonjolkan mereka juga hendak kepada Islam dengan memberi sokongan kepada KJS di Kelantan.  

“Langkah tersebut dianggap sebagai terpaksa memandangkan Umno sekarang

berdepan dengan pelbagai masalah dalaman, isu 1MDB, Altantuya, GST dan pelbagai lagi.

“Kesan GST paling dirasai rakyat sekarang di mana ramai gelisah kerana barangan keperluan harian semakin mahal,” katanya pada ceramah penerangan KJS di Kedai Peringat malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh dan Adun Melor, Dr Yusnan Yusof.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Shaari Mamat. Dataran Ilmu tempat berlangsung program itu dipenuhi orang ramai.

Program tersebut merupakan kali kedua ceramah mengenai isu hudud selepas diadakan di Putik pada 1 April lepas.

Pada persidangan Dun Kelantan 19 Mac lepas kesemua 12 Adun BN menyokong pindaan KJS (II) (1993) selepas dibentang Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu kerajaan akan menyokong mana-mana negeri yang membawa usul persendirian bagi membolehkan KJS dilaksanakan di negeri terbabit. - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Share on Myspace