PM, Menteri Dalam Menteri perlu jawab jika Pota zalim

SYED IBRAHIM SYED NOH | .

Saya amat kecewa dan terkejut apabila bangun pada pagi 7 April 2015 dan mendapati bahawa Akta Pencegahan Keganasan atau Prevention of Terrorisme Act (POTA) telah diluluskan di Parlimen setelah dibahaskan dan diundi.

Walaupun saya sudah menjangka Rang Undang-undang tersebut bakal diluluskan dengan ‘rubber stamp’ oleh Ahli Dewan Rakyat daripada BN namun saya berharap ia tidak akan diluluskan begitu cepat dan tanpa pindaan walaupun telah ditentang bermati-matian oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Ini bermakna igauan ngeri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA - Internal Security Act) yang telah dimansuhkan pada 2012 datang kembali!

Ya, bukan setakat mimpi tetapi igauan buruk kerana selama berpuluh-puluh tahun sejak 1960 ISA digubal, pelbagai penganiayaan, penyeksaan, salah guna kuasa, pencabulan kemanusiaan dan keadilan telah berlaku.

Ini telah dicatatkan sebagai fakta dalam surat akuan bersumpah (afidavit), memorandum kepada Suhakam, memorandum kepada kerajaan dan pembangkang, memorandum kepada Menteri, memorandum kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mufti-mufti, laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kes saman oleh bekas tahanan dan buku-buku yang ditulis sendiri oleh bekas tahanan.

Apakah segala usaha demikian perlu dikembalikan untuk memansuhkan POTA pula? Apakah rakyat terpaksa bangkit semula berjuang untuk memansuhkan POTA?

Semasa memimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), saya melihat sendiri penderitaan dan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh tahanan dan ahli keluarga.

Mereka terpinga-pinga apabila suami atau ayah mereka ditahan tanpa sebab melainkan dikatakan telah mengancam keselamatan negara. Mereka tambah hiba apabila tidak diberitahu di mana suami atau ayah mereka ditahan. Dan hancur harapan mereka apabila mendengarkan suami atau ayah mereka ditahan selama 2 tahun dan boleh dilanjutkan 2 tahun secara berterusan tanpa boleh membela diri atau menyemak keputusan Menteri.

Ungkapan seperti “tak perlu takut pada POTA kalau tak buat salah” oleh Menteri amatlah dangkal dan tidak berprinsip. Ia serupalah juga seperti berkata kita tak perlu takut pada PEROMPAK yang pegang pistol ke arah kita kalau kita tidak bersalah!

Pada masa yang sama, untuk mewajarkan sokongan kepada POTA kerana ia demi kepentingan rakyat dan negara adalah rumusan mudah yang tidak berpegang kepada fakta, sejarah dan pengajaran lampau.

ISA dahulu juga dikatakan wujud untuk melindungi rakyat dan negara daripada ancaman keselamatan tetapi sejarah telah membuktikan ramai ahli politik, aktivis dan rakyat biasa ditahan, diseksa, disoal siasat tanpa apa-apa kaitan dengan keselamatan negara, sebaliknya kerana motif politik.

Benar, POTA tidak akan dikenakan kepada ahli politik kerana kepercayaan atau ideologi politik mereka tetapi pokoknya pelanggaran keadilan dan hak asasi manusia tidak boleh berlaku kepada sesiapa, tidak kira sama ada ahli politik, kakitangan kerajaan, pihak keselamatan, peniaga, penoreh, petani, cikgu, mahasiswa atau rakyat biasa!

Definisi keselamatan negara dalam ISA terlalu kabur seperti mana juga definisi ‘terlibat’ dan ‘menyokong’ dalam POTA. Apakah usaha-usaha membantu kebajikan keluarga tahanan POTA akan dianggap sebagai ‘menyokong’?

Jaminan Menteri Dalam Negeri bahawa POTA akan melindungi hak asasi manusia tahanan dan bukan menggantikan ISA bagi saya merupakan satu jaminan yang terhormat tetapi sangat bercanggah dan mustahil ditunaikan.

Bagaimanakah hak asasi manusia boleh dilindungi apabila seseorang itu tiada hak perbicaraan atau pembelaan di bawah POTA? Bukankah itu bercanggah dengan hak asasi manusia?

Hati-hati dalam membuat jaminan terutama apabila kita bergantung kepada kumpulan lain yang mungkin ada kefahaman lain atau tidak memahami erti hak asasi manusia.

Perkara paling asas dalam hak asasi manusia dan keadilan ialah hak untuk tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah atau innocent until proven guilty. Dengan POTA, anda didapati bersalah tanpa penghakiman mahkamah dan ditahan selama 59 hari serta boleh dilanjutkan tahanan selama dua tahun dengan arahan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan, bukan sebuah mahkamah tetapi sebuah lembaga yang dipilih oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, keputusan Lembaga Pencegahan Keganasan tersebut tidak boleh dicabar oleh mahkamah. Kalau ISA dahulunya, keputusan ditangan Menteri Dalam Negeri tetapi sekarang keputusan di tangan Lembaga. Namanya berbeza tetapi kuasa tetap sama dan tidak boleh dicabar.

Tambah buruk, peruntukan undang-undang habeas corpus juga tidak dibenarkan di bawah POTA iaitu peruntukan mencabar undang-undang atas dasar teknikal.

Nampaknya POTA tidak menggantikan ISA tetapi POTA lebih kebal daripada ISA!

Justeru saya ingin soal Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, di manakah agenda transformasi politik yang dilaungkan sebelum ini dengan pemansuhan ISA, akta kediaman terhad dan Ordinan Darurat apabila POTA 2015 digubal dan Prevention of Crime Act (POCA) dipinda dan diketatkan?

Bukankah kita sudah ada SOSMA (yang juga bermasalah) dan Kanun Keseksaan lain yang boleh menangani jenayah keganasan?

Saya memahami soal keselamatan dan keganasan memerlukan pencegahan tetapi ciri-ciri dan prinsip utama seperti keadilan, kebebasan dan keehsanan tidak boleh digadaikan.

ISA bercanggah dengan semua ciri dan prinsip ini termasuk tuntutan agama dan ketamadunan. Begitu juga POTA. Berkali-kali dan bertahun-tahun GMI dan rakyat menegaskan perkara ini sehinggalah ISA dimansuhkan.

Cuma apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. POTA diluluskan oleh Parlimen yang diwakili oleh majoritinya wakil rakyat BN pada 7 April 2015.

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan seluruh wakil rakyat BN wajib bertanggungjawab jika berlaku kezaliman, ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia, salah guna kuasa dan pelanggaran hak kemanusiaan dengan wujudnya POTA, POCA, SOSMA dan Akta Hasutan (dengan pindaan yang bakal diluluskan). - HARAKAHDAILY 7/4/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PKR yang juga mantan Pengerusi GMI.

Share on Myspace