Mahkamah Syariah: Umno perlu berani sokong RUU persendirian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berharap kerajaan melalui menteri berkaitan akan dapat membantu melancarkan proses pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk memartabatkan syarih Islam.

Ini, katanya dengan mempercepatkan giliran RUU itu di dalam Aturan Urusan Mesyuarat agar sempat dibacakan dan diluluskan pada sidang kali ini juga.

"Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah pun menzahirkan keberanian dan kesungguhan ke arah memartabatkan Syariat Islam, maka PM Najib pun sepatutnya bertindak dengan cara yang sama," ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Akhirnya, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) telah diluluskan di Dewan Rakyat walau ditentang hebat oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Undang-undang drakonian ini tidak ubah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu, cuma beza pada namanya sahaja sedangkan kuasa untuk penahanan tanpa bicara tetap diteruskan oleh Kerajaan pimpinan Umno BN ini.

Kerajaan begitu bersungguh untuk meluluskan akta ini sehingga perbahasan dibuat dalam tempoh sehari sahaja dan Dewan bersidang sehingga lewat tengah malam iaitu jam 2.25 pagi.

Jikalau kita melihat Ahli Parlimen BN begitu bersemangat untuk meluluskan akta kejam ini, maka PAS ingin melihat semangat yang sama ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Umno yang beragama Islam dan Ahli Parlimen Komponen BN yang mengundi menyokong undang-undang tahanan tanpa bicara, untuk menyokong pula Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Rang Undang-Undang Persendirian ini adalah berkaitan peluasan kuasa Mahkamah Syariah yang boleh diluluskan dengan majoriti mudah tanpa perlu meminda Perlembagaan Malaysia.

Sistem perundangan Islam ini wajar dimartabat dan diangkat tarafnya seiring dengan perkembangan Malaysia menuju ke arah negara maju ini.

Apabila Rang Undang-Undang Persendirian ini berjaya diluluskan secara tidak langsung ia akan membuka jalan untuk memudahkan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali dengan Undang-Undang Hudud.

Di dalam Islam, setiap yang ditahan mesti dibicarakan dengan seadilnya, dengan syarat pembuktian yang begitu ketat, dibicarakan  di hadapan lebih daripada seorang hakim kemudian barulah hukuman dijatuhkan.

Adakah Umno tidak berhasrat untuk memperkasakan lagi Undang-Undang Islam di Malaysia ini atau masih sekadar mahu berselindung di sebalik pelbagai slogan dan pendekatan politik?

Justeru, saya mengharapkan PM Najib dapat menyatakan pendirian rasmi dan membuat seruan agar kesemua Ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyokong akta POTA yang menahan tanpa bicara itu agar dapat juga menyokong Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang pada hakikat asalnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah pun menzahirkan keberanian dan kesungguhan ke arah memartabatkan Syariat Islam, maka PM Najib pun sepatutnya bertindak dengan cara yang sama bahkan, ia telah pun dipersetujui di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri pada 15 Disember 2014 untuk meminda Akta 355.

Saya juga berharap agar Kerajaan melalui Menteri berkaitan akan dapat membantu melancarkan proses pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian ini dengan mempercepatkan gilirannya di dalam Aturan Urusan Mesyuarat agar sempat dibacakan dan diluluskan pada sidang kali ini juga. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace